Perjanjian usahasama platform wujudkan kereta ASEAN - Tun Mahathir
Harits Asyraf Hasnan
Februari 6, 2015 22:31 MYT
Februari 6, 2015 22:31 MYT
Perjanjian usahasama automotif PROTON Holdings Berhad (Proton) dan syarikat Indonesia PT Adiperkasa Citra Lestari pada hari ini dilihat bakal menjadi platform awal dalam merealisasikan kereta ASEAN pada masa akan datang.
Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat perjanjian usaha sama tersebut bakal memberi impak positif bukan sahaja kepada Indonesia malah kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu juga.
Katanya satu kajian daya maju dalam tempoh enam bulan akan dilakukan meliputi penelitian sumbangan yang boleh diberikan Malaysia dan Indonesia bagi memaksimumkan manfaat untuk kedua-dua negara.
“Saya fikir, kami tidak akan sertai usahasama jika kami akan rugi. Tapi sudah pasti dalam perniagaan, kita tidak boleh menetapkan keuntungan.
“Berdasarkan ilmu, pengalaman saya, pada peringkat awal (perniagaan) kita tidak membuat keuntungan. Tiba masa untuk membangunkan kereta, jumlah kereta dan penerimaan sebelum membuat keuntungan,” ujar Dr Mahathir.
Pada peringkat awal, Proton dilaporkan akan mengeksport kereta buatan Malaysia, seterusnya memasang kereta di Indonesia sekaligus mengeluarkan bahagian-bahagian di negara itu agar ia akan menjadi kereta Indonesia yang sebenar.
Pada masa sama, Dr Mahathir turut optimis, persaingan dengan gergasi automotif lain bukanlah sesuatu yang luar biasa terutama dalam melindungi industri yang masih berada di peringkat awal.
Malah, Proton turut bermula dengan hanya 18 peratus kandungan tempatan dan kini pengeluar kereta itu terlibat dalam pembuatan, rekaan dan pengeluaran protaip yang mematuhi piawaian automotif antarabangsa yang ketat.
Jokowi (tengah) dan delegasinya dibawa melawat Kompleks Kecemerlangan Proton di Subang pada Jumaat, turut hadir Pengerusi Proton, Tun Mahathir Mohamad (ketiga dari kiri) - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ditanya berkenaan pandangan peribadi beliau terhadap Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, Dr Mahathir berpendapat Jokowi merupakan seorang yang berdedikasi.
“Biasanya, orang tidak suka dibawa (dipandu) oleh lelaki tua pada usia 90an. Tapi dia (Jokowi) tidak takut malah gembira. Dia senyum.
“Saya berpendapat dia merupakan seorang yang amat berdedikasi kepada tugasnya. Dia ingin tambah baik indonesia,” kata Dr Mahathir.
Lawatan ke Kompleks Kecemerlangan Proton adalah sebahagian dari aturcara Presiden Indonesia itu yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke negara ini.