Perjanjian perdagangan sempadan diperkemas, rancakkan perdagangan Malaysia-Indonesia
Bernama
Disember 13, 2023 13:19 MYT
Disember 13, 2023 13:19 MYT
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) antara Malaysia dan Indonesia yang telah diperkemas dan ditambah baik dijangka memudah cara dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata langkah ini seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia di wilayah Borneo serta memperkukuh dan mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
Beliau menjawab soalan Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan perjanjian perdagangan atau kerjasama ekonomi khususnya antara Indonesia dan Malaysia di wilayah Borneo pada sesi jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Menurutnya BTA yang telah diperkemas dan ditambah baik ditandatangani pada 8 Jun 2023 di Putrajaya.
"BTA ini telah dikaji semula dan dirunding sejak 2009 bagi memastikannya tetap relevan dan sesuai dengan peredaran masa," katanya.
-- BERNAMA