Perjanjian operasi baharu beri lebih banyak fleksibiliti untuk MAHB - CEO

Bernama
Januari 20, 2021 20:09 MYT
Mohd Shukrie juga menjangkakan OA baharu tersebut dapat dimeterai menjelang suku kedua tahun ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyifatkan empat perjanjian operasi (OA) baharunya dengan kerajaan akan memberi lebih banyak fleksibiliti kepadanya, khususnya dalam membuat keputusan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata terdapat pelbagai pilihan yang boleh dimasukkan dalam OA baharu yang membenarkan syarikat melaksanakan pembiayaan sendiri bagi aktiviti pembangunan lapangan terbang dan tidak hanya terhad kepada Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB).
"Di bawah OA sedia ada, semua perbelanjaan modal adalah di bawah kerajaan dengan tiada sebarang mekanisme untuk kami mendapatkan semula kos pelaburan.
"OA baharu itu juga akan memastikan kedua-dua pihak terbuka kepada sama ada (kerajaan) akan mengusahakannya sendiri atau MAHB dapat masuk dan melabur dengan melaksanakan mekanisme RAB atau kaedah lain (bagi pelaburan)," katanya pada taklimat media secara maya bertajuk 'Navigating Unprecedented Crisis and Way Forward (2021-2025)' di sini, hari ini.
Apabila dimeterai kelak, OA baharu itu akan menggantikan dua OA sedia ada yang telah dimeterai pada 12 Februari 2009 iaitu masing-masing bagi pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 manakala satu lagi bagi 38 lapangan terbang lain di seluruh Malaysia.
Mohd Shukrie juga menjangkakan OA baharu tersebut dapat dimeterai menjelang suku kedua tahun ini.
Beliau berkata setiap lapangan terbang memerlukan jumlah pelaburan dan asas pengembangan atau pembesaran yang berbeza.
Menurutnya, sekiranya kaedah RAB diguna pakai, ini akan mendatangkan implikasi terhadap caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang mana peningkatan pelaburan itu adalah dalam bentuk kadar cukai lebih tinggi.
"Bagi saya, mungkin ini sebabnya kerajaan tidak mahu semua perkara dimasukkan ke dalam satu mekanisme sahaja. Ini berikutan terdapat kemungkinan bahawa lapangan terbang yang berbeza mempunyai kadar PSC yang juga tidak sama," katanya.
Mohd Shukrie berkata OA baharu itu akan turut dimasukkan dalam perjanjian pajakan tanah baharu.
Jelasnya, antara kekangan MAHB sebelum ini adalah kesukaran menarik pelabur strategik bagi tujuan membantu memajukan tanah, terutamanya di KLIA berikutan tempoh konsesi yang singkat.
Malah, beliau menyifatkan kekangan itu terus wujud walaupun pengendali lapangan terbang itu mempunyai tempoh menguruskan KLIA, klia2 dan 38 lapangan terbang lain di seluruh negara selama 35 tahun lagi iaitu sehingga 2069 berbanding 2034.
"Tidak semudah itu untuk membawa masuk pelabur strategik, bekerjasama dengan kami bagi memajukan tanah atau kawasan jika tempohnya hanya selama 49 tahun.
"Di bawah OA baharu itu, kami berharap tempoh pajakan itu dapat dilanjutkan, mungkin selama 99 tahun agar dapat menarik lebih ramai pelabur," katanya.
-- BERNAMA
#MAHB #KLIA #kerajaan #pelaburan #cukai #operasi #RAB #Ketua Pegawai Eksekutif #CEO #Mohd Shukrie Mohd Salleh #perjanjian
;