Perjanjian Malaysia-Turki berkuat kuasa 1 Ogos
Bernama
Julai 16, 2015 09:39 MYT
Julai 16, 2015 09:39 MYT
Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2015.
Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mustapa, Turki, dengan populasi seramai 74 juta orang, menawarkan peluang akses pasaran yang besar dan oleh itu, komuniti perniagaan Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan menerusi FTA ini/
Melalui perjanjian itu, kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif, apabila perjanjian ini dikuatkuasakan/
"Kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif, apabila perjanjian ini dikuatkuasakan. Duti juga akan dikurangkan atau dihapuskan ke atas hampir 86 peratus barisan tarif dalam tempoh lapan tahun akan datang," katanya.
Pada 2014, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turki bernilai US$969 juta. Eksport Malaysia ke Turki berjumlah US$752 juta, manakala import sebanyak US$217 juta.
Eksport utama ke Turki terdiri daripada tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, minyak sawit, barangan buatan logam, produk getah, produk elektrik dan elektronik.
Manakala import dari Turki termasuk tekstil dan pakaian, barangan kejenteraan dan alat ganti, produk besi dan keluli, produk kimia, produk pertanian serta produk elektrik dan elektronik
"Eksport Malaysia yang akan meraih manfaat daripada penghapusan duti secara serta-merta di Turki meliputi produk terpilih tekstil dan pakaian, produk elektrik dan elektronik, produk besi dan keluli, produk jentera, produk kayu kayan, barangan kulit dan semua produk getah," kata Mustapa yang menggesa peniaga Malaysia dalam sektor itu meningkatkan eksport mereka ke Turki.
Bagi produk strategik lain, termasuk produk besi dan keluli, kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun, bermula dari tarikh kuat kuasa perjanjian tersebut.
Turki juga akan menghapuskan semua duti tambahan kastam sedia ada (dari 20 peratus hingga 30 peratus) ke atas tekstil, pakaian dan kasut, yang melibatkan lebih 1,000 barisan tarif.
Bagi produk berasaskan minyak sawit, Turki menawarkan pengurangan duti secara 'one-off' sebanyak 30 peratus daripada kadar duti biasa (0-46.8 peratus).