Perjanjian bersama JS-SEZ akan dimeterai pada akhir tahun ini
Bernama
Mac 14, 2024 22:26 MYT
Mac 14, 2024 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura dijangka ditandatangani pada akhir tahun ini, menurut Kementerian Ekonomi.
Menurutnya perjanjian itu akan ditandatangani oleh perdana menteri kedua-dua negara semasa Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 akhir tahun ini.
"Perjanjian Bersama ini akan memperincikan kerjasama yang dipersetujui kedua-dua negara bagi pembangunan JS-SEZ termasuk sektor yang akan diberi tumpuan, lokasi serta insentif yang akan ditawarkan," kata kementerian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini, hala tuju dan garis masa pelaksanaan JS-SEZ.
Kementerian Ekonomi berkata Memorandum Persefahaman JS-SEZ telah ditandatangani oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Menteri Perdagangan dan Industri Singapura pada 11 Jan 2024 di Johor Bahru, disaksikan perdana menteri kedua-dua negara.
Pada masa ini, kerajaan negeri Johor sedang melaksanakan kajian JS-SEZ dan telah mengemukakan laporan interim kajian kepada Kementerian Ekonomi pada 29 Jan 2024, katanya.
Dalam pada itu, satu mesyuarat koordinasi JS-SEZ yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 28 Februari lepas bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas kementerian dan agensi Persekutuan sebelum dibincangkan dengan Singapura, kata kementerian.
-- BERNAMA