Perjalanan udara pada November 2023 cecah 99 peratus daripada paras 2019 - IATA

Bernama
Januari 10, 2024 22:56 MYT
Jumlah trafik udara meningkat 29.7 peratus tahun ke tahun pada November 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjalanan udara pada November 2023 mencecah 99 peratus daripada paras 2019, dengan rantau Asia-Pasifik mencatatkan prestasi tahun ke tahun paling kukuh apabila pemulihan berterusan, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
IATA menjelaskan jumlah trafik udara, diukur berdasarkan perolehan daripada kilometer yang dilalui oleh penumpang (RPK), meningkat 29.7 peratus tahun ke tahun pada November 2023.
"Secara global, trafik kini berada pada 99.1 peratus daripada paras November 2019," tambahnya dalam kenyataan pada Rabu.
IATA memaklumkan trafik antarabangsa meningkat 26.4 peratus tahun ke tahun pada November 2023 daripada angka November 2022, di samping mencapai 94.5 peratus daripada tahap November 2019.
Trafik domestik pula meningkat 34.8 peratus tahun ke tahun dan 6.7 peratus melebihi tahap November 2019, jelasnya.
"Rantau Asia-Pasifik terus merekodkan prestasi tahun ke tahun yang paling kukuh (melonjak 63.8 peratus), dengan semua wilayah menunjukkan peningkatan tahun ke tahun," tambah IATA.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata perjalanan antarabangsa kekal 5.5 peratus di bawah paras prapandemik namun, jurang itu semakin kecil.
Pasaran domestik berada di atas paras prapandemik secara berterusan sejak April 2023, katanya.
-- BERNAMA
#perjalanan udara #trafik udara #IATA #Asia Pasifik
;