Perjalanan udara naik sedikit pada Jun 2021 - IATA

Bernama
Julai 29, 2021 13:43 MYT
Permintaan penumpang antarabangsa pada Jun sebanyak 80.9 peratus di bawah Jun 2019, meningkat daripada penurunan 85.4 peratus dicatatkan pada Mei 2021 berbanding dua tahun lepas. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Prestasi permintaan penumpang pada Jun 2021 menunjukkan sedikit peningkatan dalam pasaran perjalanan udara antarabangsa dan domestik, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Bagaimanapun, katanya permintaan kekal jauh di bawah paras sebelum COVID-19 berikutan sekatan perjalanan antarabangsa.
"Jumlah permintaan untuk perjalanan udara pada Jun 2021, diukur dalam pendapatan penumpang mengikut kilometer (RPK), merosot 60.1 peratus berbanding Jun 2019. Ini adalah peningkatan kecil berbanding penurunan 62.9 peratus dicatatkan pada Mei 2021 berbanding Mei 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut IATA, permintaan penumpang antarabangsa pada Jun sebanyak 80.9 peratus di bawah Jun 2019, meningkat daripada penurunan 85.4 peratus dicatatkan pada Mei 2021 berbanding dua tahun lepas.
"Semua rantau kecuali Asia Pasifik menyumbang kepada permintaan yang tinggi sedikit," katanya.
Menurut IATA, jumlah permintaan domestik turun 22.4 peratus berbanding paras sebelum krisis pada Jun 2019, naik sedikit berbanding penurunan 23.7 peratus dicatatkan pada Mei 2021 berbanding tempoh sama pada 2019.
"Prestasi pasaran domestik utama bercampur-campur dengan Rusia melaporkan peningkatan yang pesat manakala China kembali kepada julat negatif," katanya.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata persatuan perdagangan untuk syarikat penerbangan dunia itu melihat pergerakan dalam hala tuju yang tepat, terutamanya untuk beberapa pasaran domestik utama.
"Bagaimanapun, situasi untuk perjalanan antarabangsa tidak berada pada paras yang sepatutnya. Bulan Jun sepatutnya menjadi permulaan kepada musim puncak untuk perjalanan, tetapi syarikat penerbangan hanya membawa 20 peratus daripada paras pada 2019.
"Itu bukan pemulihan. Ia adalah krisis yang berterusan disebabkan kurang tindakan daripada kerajaan," katanya.
Trafik antarabangsa untuk syarikat penerbangan Asia Pasifik pada Jun 2021 merosot 94.6 peratus berbanding Jun 2019, tidak berubah daripada penurunan 94.5 peratus pada Mei 2021 berbanding Mei 2019.
Rantau itu mencatatkan kemerosotan trafik yang ketara untuk 11 bulan berturut-turut, dengan kapasiti turun 86.7 peratus manakala faktor muatan berkurangan 48.3 mata peratusan kepada 33.1 peratus, terendah dalam kalangan rantau.
-- BERNAMA
#penumpang #permintaan #perjalanan udara #penerbangan #domestik #antarabangsa #IATA #COVID-19 #pesawat
;