Perhutanan tani mampu tingkat biodiversiti, kelestarian ladang sawit

Bernama
November 9, 2023 04:30 MYT
Profesor Alain Rival berkata perhutanan tani membabitkan penggunaan tanah yang menggabungkan pokok dengan tanaman atau ternakan atau kedua-duanya. - Foto Linkedin/Alain Rival
KUALA LUMPUR: Ladang kelapa sawit perlu menerima amalam perhutanan tani kerana pendekatan ini mampu meningkatkan biodiversiti dan kelestarian, kata seorang pakar.
Pakar Pusat Penyelidikan Pertanian Perancis untuk Pembangunan Antarabangsa (Cirad), Profesor Alain Rival berkata perhutanan tani membabitkan penggunaan tanah yang menggabungkan pokok dengan tanaman atau ternakan atau kedua-duanya.
Melalui pendekatan ini, pemilik ladang kelapa sawit boleh memilih mana-mana spesies pokok hutan untuk ditanam di celah-celah kelapa sawit, memandangkan ruang 12 meter sudah memadai bagi tujuan perhutanan tani.
Sebagai contoh, Rival memetik Projek "Cirad's Trails", yang mana pendekatan perhutanan tani digunakan di atas tanah seluas 37 hektar di Daerah Kinabatangan, Sabah untuk menggabungkan kelapa sawit dengan 15 spesies hutan yang berbeza.
"Mana-mana perladangan boleh melakukannya (perhutanan tani). Anda tidak memerlukan kawasan yang besar, malah anda boleh melakukannya dalam lima hektar. Daripada menanam 143 pokok pokok sehektar, anda hanya menanam 90 (ditambah spesies hutan yang lain) dan kemudian melihat perbezaannya.
"Ia bukan percubaan, ia (Projek Cirad's Trails) hanyalah plot demonstrasi untuk menunjukkan bahawa mengurangkan ketumpatan tidak memberi kesan ketara kepada hasil. Dari situ, anda boleh membangunkan beberapa projek lain kerana jarak anda antara pokok sawit ialah 12 meter, jadi anda mempunyai banyak ruang," katanya kepada Bernama semasa Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023 (PIPOC 2023).
Rival berkata, dalam ruang seluas 12 meter itu, pemilik tanah boleh menanam durian, manggis, lada dan vanila sebagai tanaman kontan.
Pekebun kecil khususnya boleh mendapat manfaat daripada tanaman kontan tambahan ini.
"Jika harga sawit lama semakin turun, mungkin (harga) vanila atau durian masih lagi baik. Anda tidak meletakkan semua harapan dalam bakul yang sama; anda sewajarnya mempelbagaikan pengeluaran anda," katanya.
Meningkatkan biodiversiti, kelestarian
Rival dalam pembentangannya menjelaskan bahawa melalui amalan perhutanan tani, ia boleh menghasilkan persekitaran yang lebih lestari dan berdaya maju kepada hidupan liar.
"Matlamat kedua (perhutanan tani) adalah matlamat jangka panjang, dengan tujuan membentuk kesinambungan seperti tampalan landskap, yang menggabungkan kelapa sawit dengan perhutanan tani, ditambah dengan hutan itu sendiri dan kawasan riparian.
"Riparian ialah kawasan di sepanjang sungai, dan ia adalah titik panas biodiversiti. Kami mahu menggunakannya untuk mewujudkan rangkaian biodiversiti.
"Tetapi projek (Cirad's Trails) hanya menguji kebolehlaksanaan untuk mengadakan penanaman bersama, merangkumi spesies hutan serta kelapa sawit," katanya.
Rival berkata pasukannya telah membuat semua jenis ukuran: tanah, air, biodiversiti, fotosintesis, pertukaran karbon dioksida dan perubahan gas rumah hijau di lembangan Kinabatangan.
"Semua bidang tanah dipenuhi peralatan untuk mengukur segala-galanya, terutamanya jika El Nino akan kembali, sama ada tahun depan atau dalam dua atau tiga tahun akan datang.
"Kita mulakan dengan empat stesen cuaca, mengukur kesan ke atas iklim di tempat yang berbeza di dalam hutan, ladang, di kawasan bercampur, supaya kita sudah boleh mengukur impak terhadap iklim jenis perladangan," tambahnya.
Rival berkata pertanian tani adalah penting atas banyak sebab, kerana tanah akan kehilangan sekitar 80 peratus daripada biodiversitinya apabila ditukar kepada ladang.
"Kita boleh buat lebih baik daripada itu. Kita mesti menambah baik biodiversiti di dalam ladang. kenapa? Kerana perkhidmatan ekosistem.
"Jika anda memperkenalkan semula biodiversiti, ia meningkatkan biodiversiti di ladang, yang mana, banyak perkhidmatan (ekosistem) akan dilakukan secara bebas oleh pelbagai spesies yang kembali ke ladang.
"Selain itu, kami percaya bahawa meletakkan pokok di ladang akan menurunkan suhu, meningkatkan kelembapan dan kita mempunyai landskap yang lebih lestari," katanya.
-- BERNAMA
#kelapa sawit #perhutanan tani #meningkatkan biodiversiti #menurunkan suhu
;