Pergerakan global, domestik jejas pergerakan Ringgit - BNM
Bernama
Jun 18, 2015 21:09 MYT
Jun 18, 2015 21:09 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa pergerakan semasa nilai Ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global dan dalam negeri.
Kenyataan BNM ini dibuat susulan beberapa laporan media yang kurang tepat dan mengelirukan kebelakangan ini yang didakwa menjadi penyebab turun naik kadar pertukaran Ringgit.
Bank pusat kekal fokus terhadap peranan dan mandatnya dalam memastikan kestabilan monetari dan kewangan serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"BNM tidak pernah dan tidak akan terpengaruh oleh agenda politik, malah akan terus melaksanakan mandatnya dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat negara ini," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut BNM, perkembangan global termasuklah jangkaan pelabur berhubung dasar monetari bank-bank pusat utama serta trend harga minyak mentah dan gas, manakala faktor dalam negeri termasuklah kebimbangan terhadap entiti berkaitan kerajaan dan isu berkaitan penarafan
Ketidakpastian terhadap mana-mana isu ini telah menyebabkan turun naik nilai Ringgit.
"Sungguhpun perkembangan di luar negeri adalah di luar kawalan mana-mana ekonomi yang bersifat terbuka, segala usaha perlu diambil untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu dalam negeri yang sedang dihadapi oleh ekonomi negara kita.
"Apabila isu-isu tersebut diselesaikan, prestasi ringgit dijangka kembali selaras dengan asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan negara yang kukuh," kata BNM.