Perdana Menteri, Jack Ma lancar operasi DFTZ

Luqman Hariz
November 3, 2017 19:07 MYT
Najib dan Jack Ma melancarkan DFTZ Malaysia dengan penyertaan 1,972 PKS sedia eksport, di Aeropolis KLIA Sepang hari ini. - Astro AWANI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif gergasi e-dagang Alibaba, Jack Ma, melancarkan permulaan operasi Zon Perdagangan Bebas Digital atau Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
DFTZ, dilancarkan oleh kedua-dua individu pada Mac tahun ini, merupakan yang pertama seumpamanya di dunia dan bakal menjadi hab digital yang akan memudahkan pendigitalan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Ia akan mengintegrasi dan melancarkan pemasaran, penjualan, eksport serta penghantaran produk PKS Malaysia ke serata dunia.
“(DFTZ) akan memudahkan e-dagang dengan membawa bersama agensi kerajaan, pasaran digital, serta penyedia perkhidmatan bayaran dan logistik di dalam satu platform,” kata Najib dalam satu kenyataan sempena upacara pelancaran operasi DFTZ itu hari ini.
Melalui DFTZ, PKS tempatan juga bakal memaksimumkan platform Alibaba yang mempunyai akses kepada pasaran China yang mempunyai lebih 1 bilion orang.
“Matlamat pewujudan Platform Perdagangan Global Elektronik ini adalah untuk membina sebuah platform dagangan global yang insklusif dan inovatif bagi PKS, golongan muda dan pelanggan.
“Alibaba bangga untuk berkongsi visi ini dengan DFTZ,” kata Jack Ma.
DFTZ bakal meningkatkan jumlah eksport PKS tempatan kepada ASD38 bil dan menjana lebih 60,000 pekerjaan baru menjelang 2025.
#China #DFTZ #Jack Ma #Najib Razak #Zon Perdagangan Bebas Digital
;