Perdagangan Malaysia-Korea Utara dijangka tidak terjejas - Ahmad Maslan
Bernama
Mac 8, 2017 15:58 MYT
Mac 8, 2017 15:58 MYT
Perdagangan antara Malaysia dan Korea Utara dijangka tidak terjejas dengan kejadian pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana nilai perdagangan antara kedua-dua negara itu tidaklah begitu besar yang mana pada 2016 jumlahnya adalah sebanyak RM18.9 juta.
"Apa juga yang berlaku, ia tidak akan menjejaskan jumlah dagangan Malaysia kerana jumlah dagangan kita dengan Korea Utara terlalu kecil. Jika ada yang risau dengan apa yang berlaku akan menjejaskan jumlah dagangan kita, ianya tidak perlu," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian antara Kumpulan Pendidikan Uniti dengan tiga pemain industri dari Indonesia di sini, hari ini.
Ditanya sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan keputusan untuk menghentikan perdagangan dengan Korea Utara, Ahmad berkata: "Kita ikut keputusan Kabinet. Sebenarnya kita lebih gembira berdagang dengan orang yang lebih friendly (mesra) dengan kita". -- BERNAMA