Perdagangan luar Malaysia meningkat semula pada 2024 - Penganalisis

Bernama
Februari 21, 2024 04:30 MYT
Kementerian Kewangan menjangkakan peningkatan yang ketara sebanyak 5.5 peratus bagi eksport barangan perkilangan pada 2024, seterusnya mendorong sentimen optimis. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia memulakan tahun ini dengan momentum positif, isyarat yang baik kepada jangkaan lantunan semula perdagangan luar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih teguh pada 2024.
Maybank Investment Bank Research berkata angka perdagangan luar pada Januari mungkin telah menerima rangsangan daripada penghantaran menjelang lanjutan penutupan operasi di dalam negara dan di peringkat serantau berikutan cuti Tahun Baharu Cina.
Impak berkenaan dijangka dilihat pada angka untuk Februari 2024, justeru adalah penting untuk membuat perbandingan bagi dua bulan pada 2024 berbanding dengan dua bulan pada 2023 serta trend bulanan selepas Februari 2024, katanya.
"Bagi tahun ini, ketika ini kami meramalkan eksport dan import masing-masing meningkat semula sebanyak 4.7 peratus dan 5.6 peratus,
"Pemacu utama eksport yang diunjurkan meningkat tahun ini adalah unjuran pemulihan bagi kitaran elektronik memandangkan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia menjangkakan jualan semikonduktor global menokok semula sebanyak 13.1 peratus pada 2024 (2023: -8.2 peratus)," kata firma penyelidikan itu dalam nota pada Rabu.
Malah, Kementerian Kewangan menjangkakan peningkatan yang ketara sebanyak 5.5 peratus bagi eksport barangan perkilangan pada 2024, seterusnya mendorong sentimen optimis, katanya.
Bagaimanapun, PIVB berkata Malaysia mudah terkesan dengan turun naik ekonomi global, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor, diperlihatkan oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang sederhana pada 2024.
"Kebergantungan besar kepada rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Kesatuan Eropah menambahkan kebimbangan terhadap perdagangan ASEAN.
"Selain itu, pilihan raya utama di negara rakan dagang penting tahun ini, termasuk AS, Korea Selatan dan India, menimbulkan lagi kerumitan, yang berpotensi membentuk dinamik perdagangan antarabangsa," katanya dalam nota.
Peningkatan Krisis Laut Merah menimbulkan ancaman ketara, berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global dan menambahkan kos perniagaan, kata bank pelaburan itu.
Walaupun terdapat risiko ini, jangkaan peningkatan bagi eksport elektronik dan kesan asas yang menggalakkan berupaya mengimbangi sebahagian daripada kesan negatif.
Sehubungan itu, PIVB meramalkan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia akan meningkat semula dengan kadar pertumbuhan 5.4 peratus pada 2024.
Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2024 melantun semula dengan pengembangan dua angka sebanyak 13.3 peratus kepada RM234.73 bilion selepas 10 bulan mencatatkan penguncupan berturut-turut.
Menurut kementerian, eksport meningkat 8.7 peratus kepada RM122.43 bilion dan import naik 18.8 peratus kepada RM112.3 bilion.
Ini merupakan nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi Januari, kata MITI.
-- BERNAMA
#pelaburan #perdagangan luar Malaysia #Maybank Investment Bank Research #ekonomi
;