Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan meningkat kepada AS$36.6 bln pada 2022
Bernama
Julai 26, 2023 06:30 MYT
Julai 26, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan meningkat 36.2 peratus kepada jumlah AS$36.6 bilion (AS$1=RM4.56) pada tahun 2022 disokong oleh permintaan rantaian bekalan global.
Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang berkata Taiwan mengeksport banyak produk elektrik dan elektronik (EE) ke Malaysia.
“Pada masa sama, produk EE Malaysia turut dieksport ke Taiwan. Bagaimanapun, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara menyaksikan penurunan bagi separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu disebabkan kelembapan ekonomi global,” katanya ketika ditemui Bernama di Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman (ARCHIDEX) Edisi Ke-22 di sini semalam.
Ia berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai semalam hingga 29 Julai depan.
Chang berkata Malaysia adalah tumpuan utama Dasar Baru Taiwan dan Taiwan juga merupakan rakan kongsi perdagangan dan pelaburan penting untuk Malaysia.
Sementara itu, Pavilion Taiwan Excellence menampilkan 10 syarikat yang memenangi anugerah dalam sektor kediaman dan bahan binaan rumah pintar, pavilion itu dianjurkan bersama oleh Biro Perdagangan Luar Negeri dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA).
Sebanyak 17 peralatan mengurangkan karbon, bahan binaan penjimatan tenaga mesra alam dan aplikasi kehidupan pintar yang dibangunkan Taiwan dipamerkan pada acara tersebut.
Produk yang dipaparkan pada acara itu menunjukkan nilai inovatif daripada segi penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan kualiti.
Salah satu pempamer, Innolux Corp berhasrat untuk memasuki pasaran Malaysia untuk memasarkan produk tingkap pintarnya yang secara automatik melaraskan pencahayaan untuk mengurangkan penggunaan tenaga dengan ketara.
Pengarah Besar Teknikal Innolux Corp (Innolux), James Hsu berkata syarikat itu sedang berusaha untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan.
"Kami akan cuba mencari rakan kongsi yang berpotensi dari Malaysia untuk membantu kami mengembangkan pasaran kami. Innolux adalah pengeluar skrin paparan profesional, bukan pengeluar bahan binaan. Itulah sebabnya kami perlu melibatkan diri dengan syarikat tempatan untuk membantu kami memahami apa yang diperlukan dalam pasaran Malaysia," katanya.
-- BERNAMA