Perdagangan Borong dan Runcit tumbuh 6.6 peratus, kini di paras RM138 bilion

Astro Awani
Julai 12, 2023 12:50 MYT
Peningkatan sebanyak 6.6 peratus bagi Perdagangan Borong dan Runcit pada Mei 2023 disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang melonjak 22 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM17 bilion. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138 bilion, bertumbuh 6.6 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, peningkatan sebanyak 6.6 peratus bagi Perdagangan Borong dan Runcit pada Mei 2023 disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang melonjak 22 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM17 bilion.
Perdagangan Runcit juga berkembang dengan mencatatkan 5 peratus atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion, diikuti oleh Perdagangan Borong yang meningkat 4.4 peratus atau RM2.6 bilion untuk berada pada RM62.2 bilion.
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.5 peratus disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor dan Perdagangan Borong masing-masing 16.2 peratus dan 2.1 peratus.
"Bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan dua digit 22 peratus dalam Kenderaan Bermotor pada bulan ini didorong oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang melonjak 29.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion.
"Ini diikuti oleh Jualan Komponen dan Aksesori Kenderaan Bermotor serta Penyelenggaran dan Pembaikan Kenderaan Bermotor masing-masing naik 17.7 peratus dan 20.4 peratus.
"Bagaimanapun, Jualan, Penyelenggaran dan Pembaikan Motosikal menurun -5.0 peratus. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini melonjak sebanyak 16.2 peratus disumbangkan oleh semua kumpulan dalam subsektor ini terutamanya Jualan Kenderaan Bermotor dengan 30.8 peratus," memetik kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan Runcit, kenaikan 5 peratus pada Mei 2023 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang bertumbuh 8.4 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM22.5 bilion.
"Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan 6 peratus, Jualan Runcit Makanan, Minuman dan Tembakau 10 peratus, Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan 6 peratus, Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar 2.5 peratus dan Jualan Runcit di Gerai dan Pasar 6 peratus.
"Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun -2.7 peratus dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan negatif," lapor DOSM.
Peningkatan 4.4 peratus dalam subsektor Perdagangan Borong disumbangkan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman dan Tembakau yang meningkat RM1.1 bilion atau 9.6 peratus kepada RM12.3 bilion.
Ini diikuti oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah (7.9 peratus), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian dan Haiwan Hidup (8.6 peratus), Jualan Borong Jentera, Peralatan dan Bekalan (5.8 peratus), Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (11.6 peratus) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (7.3 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Borong naik 2.1 peratus, terutamanya disumbangkan oleh Jual Borong Bahan Mentah Pertanian dan Haiwan Hidup serta Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong masing-masing meningkat 7.5 peratus dan 1.1 peratus.
#perdagangan borong runcit #DoSM #jualan kenderaan bermotor #prestasi runcit
;