Perdagangan borong dan runcit naik 6.6 peratus kepada RM144.9 bln pada April - Perangkaan

Bernama
Jun 11, 2024 14:38 MYT
Mohd Uzir berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan 5.5 peratus atau RM3.3 bilion dalam subsektor perdagangan runcit kepada RM63.8 bilion. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM144.9 bilion, naik 6.6 peratus dari tahun ke tahun pada April 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata peningkatan itu didorong oleh kenaikan 5.5 peratus atau RM3.3 bilion dalam subsektor perdagangan runcit kepada RM63.8 bilion.
"Perdagangan borong juga meningkat dengan mencatatkan 4.8 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM63.8 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan peningkatan 18.1 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM17.3 bilion," katanya.
Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit jatuh -0.6 peratus daripada bulan sebelumnya disebabkan penurunan dicatatkan dalam kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing merosot -8.2 peratus dan -0.4 peratus.
Mengenai prestasi subsektor, beliau berkata pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun (dalam perdagangan runcit April disumbangkan oleh jualan kedai bukan pengkhususan yang meningkat 5.2 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM24.7 bilion.
"Untuk perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 1.5 peratus," kata Mohd Uzir.
Beliau juga berkata peningkatan 4.8 peratus tahun ke tahun bagi subsektor perdagangan borong disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong melonjak RM1.0 bilion atau 4.2 peratus kepada RM23.9 bilion.
Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong turun -0.4 peratus.
"Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18.1 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada April didorong oleh jualan kenderaan bermotor naik 26.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM8.6 bilion.
"Ini diikuti dengan jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (11.8 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (13.1 peratus)," katanya.
Beliau berkata bagi perbandingan bulanan, subsektor itu menguncup -8.2 peratus, disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor (-13.4 peratus) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-21.2 peratus).
Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit April mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus, disumbangkan dengan semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.1 peratus), perdagangan runcit (3.5 peratus) dan perdagangan borong (2.7 peratus)
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia naik semula kepada 5.5 peratus bulan ke bulan.
-- BERNAMA
#perdagangan #borong #runcit #Nilai jualan #DoSM #perangkaan
;