Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia catat jualan tertinggi sejak 2013

Astro Awani
Julai 8, 2022 14:54 MYT
Mohd Uzir berkata, peningkatan bagi Perdagangan Borong dan Runcit pada Mei disumbang oleh subsektor Perdagangan Runcit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei dengan pertumbuhan 19.9 peratus tahun ke tahun berjumlah RM129.8 bilion.
Laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Mei 2022 itu menyebut, pertumbuhan itu sekali gus mengekalkan momentum dari Mac yang meningkat 9.8 peratus.
Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan bagi Perdagangan Borong dan Runcit pada Mei disumbang oleh subsektor Perdagangan Runcit yang meningkat RM13.0 bilion atau 29.9 peratus kepada RM56.3 bilion.
Perdagangan borong juga berkembang dengan 11.7 peratus atau RM6.3 bilion kepada RM59.6 bilion.
"Dalam tempoh yang sama, Kenderaan Bermotor menokok 20.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM13.9 bilion. Secara umumnya, peningkatan keseluruhan RM21.5 bilion atau 19.9 peratus dalam Perdagangan Borong & Runcit disebabkan oleh penarikan semula sekatan pergerakan yang dikenakan semasa pandemik
Covid-19 yang membolehkan sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah dan istimewa di seluruh negara.
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit meningkat 1.4 peratus disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit 5.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, pertumbuhan subsektor Perdagangan Runcit sebanyak 29.9 peratus pada Mei 2022 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 36.3 peratus atau RM5.5 bilion kepada RM20.7 bilion.
"Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit di Kedai
Pengkhususan 30.8 peratus, Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan 54.6 peratus, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah 23.7 peratus, Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau 21.4 peratus, Jualan Runcit Barangan Kesenian dan Rekreasi 20.1 peratus, Jualan Runcit Peralatan Informasi dan Komunikasi 8.0 peratus, Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar 27.0 peratus, dan Jualan Runcit di Gerai dan Pasar 24.0 peratus," ujarnya lagi.
Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, kenaikan 11.7 peratus disumbangkan oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah dengan peningkatan 22.1 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM11.9 bilion.
"Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong 8.8 peratus, Jual Borong Bahan Mentah Pertanian dan & Haiwan Hidup 17.7 peratus, Jualan Borong Makanan, Minuman dan Tembakau 7.4 peratus, Jualan Borong Jentera, Peralatan dan Bekalan 10.1 peratus, Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran 12.0 peratus, dan Perdagangan Borong
Tanpa Pengkhususan 3.8 peratus," tambahnya.
Katanya lagi, pertumbuhan 20.1 peratus dalam subsektor Kenderaan Bermotor bulan ini disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti dan Aksesori Kenderaan Bermotor yang meningkat 34.3 peratus atau RM1.0 bilion kepada RM3.8 bilion.
Ini diikuti oleh Jualan Kenderaan Bermotor, Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor, dan Jualan, Penyelenggaraan dan Pembaikan Motosikal masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 37.4 peratus dan 23.2 peratus.
Selain itu, indeks jualan runcit melalui internet untuk Mei 2022 merekodkan pertumbuhan 25.9 peratus tahun ke tahun.
"Bagi pelarasan musim, indeks menurun -0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya. Bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit bagi Mei 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.7 peratus," ujarnya.
#Ketua Perangkawan Negara #Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin #Jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia #Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan
;