Perbincangan terperinci langkah strategik Belanjawan 2023 di IMKL 2023

Bernama
Mac 2, 2023 06:00 MYT
IMKL 2023 akan memberikan pandangan terperinci mengenai pendekatan dan langkah strategik yang diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) akan menjadi tuan rumah bersama edisi ke-21 Invest Malaysia (IMKL 2023) pada 8 Mac ini di ibu negara yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 1,000 pengurus dana tempatan dan asing secara bersemuka dan dalam talian, dengan jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak US$10 trilion (kira-kira RM44 trilion).
Dalam kenyataan bersama pada Khamis, kedua-dua pihak berkata, IMKL 2023 akan memberikan pandangan terperinci mengenai pendekatan dan langkah strategik yang diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini yang akan menyokong usaha jangka panjang Malaysia untuk mencapai pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi.
Persidangan itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan ucap tama, dijangka memberikan tumpuan kepada usaha negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi sambil berpegang teguh kepada nilai-nilai dalam konsep Malaysia MADANI.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini memperteguh komitmen Malaysia terhadap pembaharuan fiskal di samping menangani kebimbangan utama pelabur apabila menetapkan keputusan pelaburan.
"Ketiadaan cukai makmur daripada pembentangan belanjawan tahun ini turut menjadi petanda baik dan menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk menyasarkan pendapatan lebih tinggi sekali gus menambah daya tarikan syarikat terhadap pelabur global.
"Di samping itu, insentif cukai ke atas perbelanjaan penyenaraian di pasaran ACE dan LEAP serta syarikat berasaskan teknologi yang disenaraikan di Pasaran Utama akan mendorong penyenaraian lebih banyak syarikat berpotensi tinggi dan inovatif," katanya.
"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan menambah minat dagangan dalam kalangan pelabur di samping membantu kami mencapai sasaran sebanyak 39 penyenaraian pada 2023," katanya.
Sementara itu, Presiden dan CEO kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata perbincangan di Invest Malaysia akan memberikan pemahaman lebih baik mengenai strategi fiskal dan ekonomi jangka sederhana Malaysia untuk mengekalkan pembangunan, meningkatkan daya saing dan meneruskan trajektori pertumbuhan
"Kami percaya pendekatan holistik yang mengimbangi keperluan sosial dan ekonomi adalah penting untuk negara mengukuhkan daya tahan dan mengekalkan pertumbuhan," katanya.
IMKL 2023 akan membawakan pelbagai topik perbincangan antaranya 'Memperkukuh Daya Tahan Ekonomi' yang akan disampaikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; 'Meningkatkan Daya Saing Malaysia' oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan 'Membangunkan Ekosistem Digital yang Teguh' oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
IMKL 2023 bertemakan 'Membentuk Semula Naratif Malaysia: Memperkukuh Daya Tahan dan Mengekalkan Pertumbuhan,' akan disiarkan secara langsung untuk tontonan ramai di laman Facebook Bursa Malaysia di https://www.facebook.com/BursaMalaysia/ pada Rabu, 8 Mac 2023 bermula 10 pagi.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2023 #Bursa Malaysia #Facebook #Maybank
;