Perbelanjaan pengguna di Malaysia dijangka pulih 2022 - Fitch

Dagang News
Oktober 22, 2021 08:00 MYT
Perbelanjaan pengguna dijangka kembali pulih tahun hadapan dengan perbelanjaan isi rumah meningkat sekitar 5.1% selepas 2 tahun menguncup disebabkan penularan wabak COVID-19, menurut Fitch Solutions. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pengguna dijangka kembali pulih tahun hadapan dengan perbelanjaan isi rumah meningkat sekitar 5.1% selepas 2 tahun menguncup disebabkan penularan wabak COVID-19, menurut Fitch Solutions.
Jumlah perbelanjaan pengguna susut kepada RM855 bilion pada 2021, iaitu 5.4% lebih rendah berbanding RM905 bilion yang direkodkan pada 2010, sebelum tercetusnya pandemik tersebut.
Dalam laporan prospek pengguna di Malaysia pada 2022, unit Fitch ini berkata, pertumbuhan yang diramalkan menunjukkan peningkatan ketara daripada penguncupan yang dianggarkan pada tahun ini, apabila langkah mengekang COVID-19 menjejaskan permintaan domestik.
Oleh itu, katanya, perbelanjaan dalam kalangan pengguna di Malaysia hanya kembali pulih pada awal 2022.
"Bagaimanapun, kami mendapati, pemulihan ini adalah cukup pantas sehingga berjumlah RM915 bilion pada tahun hadapan, sedikit sebanyak berdasarkan angka yang direkodkan sebelum prapandemik," jelas agensi tersebut.
Sepanjang tahun ini, jualan runcit di Malaysia adalah lemah dengan pertumbuhan terutamanya daripada asas rendah memandangkan langkah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lama menjejaskan pengguna dan peruncit.
"Sekatan yang dilaksanakan ini lebih teruk di kawasan berpenduduk seperti Lembah Klang (berpusat di Kuala Lumpur termasuk kawasan bersebelahan Selangor), mengganggu pemulihan dalam jualan runcit
"Ini kerana Lembah Klang merangkumi hampir 60% daripada jualan runcit di Malaysia," tambahnya.
Di sebalik ramalan pertumbuhan, ia telah memberi amaran mengenai beberapa risiko untuk prospek positif terutama dalam tempoh 4 bulan pertama tahun ini.
Risiko tersebut termasuklah kenaikan inflasi dan kemungkinan kemunculan varian baharu COVID-19, yang akan menyebabkan sekatan pergerakan dilaksanakan semula.
"Ramalan perbelanjaan pengguna yang kami jangkakan adalah sejajar dengan pandangan Risiko Negara bahawa ekonomi yang lebih luas akan berkembang 5.5% pada tahun hadapan," menurut laporan prospek berkenaan.
Pada masa sama, prospek permintaan domestik bagi 2021 dijangka terus lemah dengan perbelanjaan pengguna dilihat lebih teruk berbanding 2020 disebabkan masalah pengangguran.
Unit Fitch itu menjangkakan kadar pengangguran yang tinggi pada separuh pertama tahun ini dan sudah pun mula meningkat kepada 4.8% pada Jun 2021 berbanding 4.5% bulan sebelumnya.
Berdasarkan data Jabatan Statistik, ia menunjukkan purata kadar pengangguran sebelum tercetusnya pandemik adalah pada purata 3.3%.
"Pemulihan ekonomi negara daripada pandemik COVID-19 dilihat lebih perlahan, setelah hampir 2 tahun Malaysia berada dalam tempoh sekatan pergerakan," tambahnya.
*Berita asal di DagangNews.com
#COVID-19 #Fitch #Risiko Negara #perbelanjaan pengguna
;