Perbelanjaan isi rumah diunjur tumbuh lima peratus kepada RM952.6 bilion tahun depan - BMI
Bernama
Oktober 18, 2024 14:36 MYT
Oktober 18, 2024 14:36 MYT
KUALA LUMPUR: BMI, unit Fitch Solutions, mengunjurkan perbelanjaan isi rumah Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak lima peratus tahun ke tahun pada 2025 kepada RM952.6 bilion.
Unjuran itu menunjukkan angka yang kembali ke paras pertumbuhan pra-COVID pada kadar purata sebenar 5.2 peratus tahun ke tahun pada 2015-2019.
Selain itu, ia turut memberi prospek positif namun berhati-hati terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia pada 2025 ketika pemulihan ekonomi menyumbang kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna sebenar yang kukuh bagi sepanjang tahun penuh.
"Pertumbuhan perbelanjaan isi rumah (ini bagaimanapun) akan lebih perlahan berbanding 2024, walaupun kami mengambil maklum pertumbuhan ini kekal kukuh jika ekonomi berkembang secara berterusan manakala tahap penggunaan menjadi normal," kata BMI dalam laporannya hari ini.
Perbelanjaan itu, bagaimanapun, akan dikekang oleh persekitaran tahap hutang yang tinggi dan kos pembayaran hutang.
Inflasi yang berkurangan dan pasaran tenaga kerja yang terhad pula akan menyokong perbelanjaan berikutan pertumbuhan gaji sebenar kembali ke wilayah positif dan menyokong kuasa beli sepanjang tahun.
Tahap keyakinan pengguna juga sebahagian besarnya semakin menyusut, memaparkan pendirian pengguna yang lemah ketika tekanan inflasi dalam komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api terus menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Merujuk angka runcit terkini, BMI berkata jualan runcit pada Ogos 2024 mencatat 5.9 peratus tahun ke tahun.
"Walaupun ini merupakan pertumbuhan jualan runcit paling perlahan sejak April 2024, keadaan itu disebabkan oleh penyusutan jualan di premis jualan khusus. Namun, angka Ogos 2024 itu adalah bulan keempat berturut-turut kemerosotan jualan runcit dan trajektori lemah itu memerlukan pemantauan seterusnya," katanya.
Hutang isi rumah kekal risiko bagi unjuran pengguna.
Paras tinggi hutang isi rumah kekal menjadi risiko kepada unjuran pengguna kerana ini tidak hanya mengekang kapasiti meminjam di masa depan, tetapi turut memberi impak terhadap paras pendapatan boleh guna semasa, katanya.
Keadaan ini benar terutama apabila kos pembayaran hutang meningkat sebagai tindak balas kepada kenaikan kadar faedah.
Di kebanyakan pasaran, kata BMI, bank pusat bertindak cepat menaikkan kadar faedah ketika tempoh inflasi tinggi 2022-2023 dan mencecah tahap yang tidak dilakukan oleh kebanyakan isi rumah sedekad lepas.
Kebanyakan pasaran kini telah mencapai kadar faedah terminal dengan kebanyakan bank pusat dijangka mula melonggarkan kadar berkenaan menjelang 2025, katanya.
Walaupun kadar faedah tidak akan mencapai paras terendah sebelumnya dalam dekad sebelum ini, sebarang pelonggaran dasar monetari akan mengurangkan tekanan kos pembayaran hutang.
Malaysia juga, katanya, telah menyaksikan lonjakan kredit isi rumah sejak beberapa tahun lepas.
"Kami melihat tindakan pelepasan atau pelonggaran secara pantas boleh memberi risiko terhadap permintaan domestik. Pada anggaran terakhirnya, Bank Negara Malaysia telah meletakkan hutang isi rumah pada 68.5 peratus daripada KDNK pada suku ketiga 2023.
"Kadar repo dan kadar faedah yang mula meningkat akan turut menambah kos perkhidmatan hutang; Isi rumah pula perlu memperuntukkan pendapatan boleh guna untuk pembiayaan hutang yang memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna pada masa depan," katanya.
BMI berkata isi rumah Malaysia secara relatifnya mendapat perlindungan daripada peningkatan kos hutang.
Sebagai contoh, pada 2022 hutang isi rumah di Malaysia berjumlah RM1.5 trilion (US$330 bilion), namun aset kewangan isi rumah berjumlah RM3 trilion (US$861 bilion).
Menurut BMI, mengambil kira kekukuhan kewangan isi rumah ini, kecairan aset kewangan terhadap jumlah hutang adalah pada 135.4 dalam 2022, lebih rendah berbanding 143.3 pada 2019.
"Ini menunjukkan isi rumah mempunyai ruang bagi menyerap kos peningkatan hutang jika keadaan memerlukan," katanya.
-- BERNAMA