Perbaiki tahap kewangan isi rumah dengan perniagaan - Dr Barjoyai

Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2018 04:33 MYT
DR BARJOYAI: Kita perlu kemahiran baru, kepakaran baru dan ini mewujudkan peluang untuk memasukkan latihan kepada mereka apabila keluar program itu. - Gambar Sinar Harian
Isi rumah perlu mencuba memperbaiki tahap kewangan dengan memulakan perniagaan dan mewujudkan laman sesawang sendiri untuk memasarkan produk masing-masing.
Penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjelaskan, ia sekali gus dapat menjana sumber pendapatan tambahan selain penglibatan keluarga dalam mengendalikan perniagaan berkenaan.
"Satu lagi usaha dilakukan adalah latih semula mereka yang pendapatan dan kemahiran rendah, dan kini Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Kita perlu kemahiran baru, kepakaran baru dan ini mewujudkan peluang untuk memasukkan latihan kepada mereka apabila keluar program itu.
"Mereka akan ada kemahiran lebih dan membolehkan mereka mendapat pendapatan tinggi kerana daya produktiviti yang tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
BACA: Jurang pendapatan makin meluas, golongan B40 paling terkesan - KRI
BACA: 5 sebab mengapa belia menganggur
Dr Barjoyai mengulas kajian Kedudukan Isirumah 2018 oleh Khazanah Research Institute (KRI) yang menyatakan isi rumah dengan pendapatan di bawah RM2,000 sebulan secara purata membelanjakan 95 peratus pendapatan mereka untuk keperluan asas harian.
Ia menjadikan mereka tidak mempunyai simpanan untuk menampan kesan kejutan ekonomi dan kecemasan.
Dalam pada itu katanya, isi rumah ini juga memerlukan bantuan khusus skim mikro perniagaan pembiayaan selain bimbingan untuk mengeluarkan mereka dari statistik kajian berkenaan.
Mengulas isu sama, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emiratus Dr Zakariah Abdul Rashid menjelaskan, isi rumah perlu mencari jalan untuk menaikkan pendapatan masing-masing selain mengakui proses penurunan harga tidak dapat dilakukan secara berkesan.
"Jadi satu-satunya jalan dengan menaikkan kuasa beli iaitu bukan melalui harga tetapi pendapatan dan pendapatan ni pula kita cuba naikkan pendapatan minimum.
"Tetapi kita dapati gaji minimum naik RM50 sahaja bagi seluruh ekonomi, jadi di situ letaknya cabaran.
"Satu lagi cara pendapatan meningkat bukan melalui gaji minimum tetapi melalui gaji sektor awam, tetapi gaji sektor awam harus digunakan untuk menjadi teraju peningkatan pendapatan seluruh isi rumah," jelasnya.
Kajian itu turut mendapati ketidaksamaan pendapatan di Malaysia secara amnya bertambah baik seperti dibuktikan oleh ukuran Gini coefficient yang menurun kepada 0.399 pada 2016.
Bagaimanapun, jurang pendapatan purata hakiki antara 20 peratus golongan kaya dan 80 peratus rakyat Malaysia terus meluas.
#ekonomi #IR 4 0 #Khazanah #KRI #MIER #rakyat
;