Perbadanan Labuan lancar dua Pelan Strategik PL 2022-2026

Bernama
Disember 9, 2022 12:45 MYT
Perbadanan Labuan (PL) melancarkan Pelan Strategik PL (PS PL) 2022-2026 dan Pelan Strategik Pendigitalan PL (PSP PL) 2022-2026 hari ini. - Foto Facebook/Perbadanan Labuan
LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) melancarkan Pelan Strategik PL (PS PL) 2022-2026 dan Pelan Strategik Pendigitalan PL (PSP PL) 2022-2026 hari ini.
PS PL 2022-2026 adalah dokumen perancangan pentabdiran PL yang menggariskan lima teras strategik dengan disokong oleh strategi dan program mengikut kluster yang telah dikenal pasti dan perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi mencapai visi dan dan misi yang disasarkan.
PSP PL 2022-2026, menetapkan visi dan misi perkhidmatan dan sistem infomasi komunikasi teknologi (ICT) PL selari dengan PS PL iaitu dengan visi sebagai peneraju perkhidmatan digital ke arah bandar pintar yang mapan dan sejahtera.
Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Ismail ketika melancarkan kedua-dua pelan strategik itu berkata kejayaan PS PL ini bergantung kepada iltizam setiap warga kerja PL dengan memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan yang memenuhi kehendak pihak berkepentingan dan pelanggan.
"Ia adalah sejajar dengan Rangka Kerja PSP Sektor Awam 2021-2025 yang terdiri daripada empat komponen utama iaitu Visi, Teras Strategik, Prinsip Panduan dan Ekosistem Pemboleh Daya," katanya.
Sementara itu, Rithuan turut menyampaikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (TKPE Pengurusan) PL yang baharu kepada Datuk Dr Othman Che Jusoh, berkuat kuasa 1 Dis 2022.
Othman merupakan bekas Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia PL sebelum dilantik ke jawatan TKPE Pengurusan.
-- BERNAMA
#Labuan #Perbadanan Labuan #Pelan Strategik PL 2022-2026
;