Peraturan kukuh pacu ekonomi digital ASEAN raih nilai sehingga AS$2 trilion - Tengku Zafrul
Bernama
September 4, 2023 17:22 MYT
September 4, 2023 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Rejim kawal selia yang kukuh dan disatukan boleh membantu ASEAN meraih potensi nilai ekonomi digital yang dijangka mencecah AS$1 trilion hingga AS$2 trilion menjelang 2030, melonjak daripada AS$300 juta pada masa ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata pertumbuhan pesat e-dagang dan ketersediaan platform digital seperti rangkaian sosial, dan pasaran e-dagang merupakan peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau yang memetik 'data niat swasta' berkata kira-kira 50 juta PKS menggunakan Facebook untuk mencari pelanggan, dengan 70 peratus peminat mereka adalah daripada kalangan domestik, dan 30 peratus dari luar negara.
"Meningkatkan aliran data akan mengurangkan kos transaksi, menggalakkan perkongsian idea, dan membolehkan pengguna memanfaatkan penemuan dan teknologi baharu. Satu caranya adalah berusaha ke arah rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif untuk meningkatkan kepercayaan terhadap perkongsian data intra-ASEAN antara pihak berkepentingan, meliputi penggunaan semula data niat awam dan swasta.
"Di samping membolehkan penggunaan semula data niat awam yang mungkin merupakan proses yang lebih kompleks, perkara yang boleh kita pertimbangkan hari ini adalah untuk membolehkan penggunaan semula data niat swasta melalui peraturan di seluruh ASEAN," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2023 di Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Tengku Zafrul turut berkongsi pengalaman sebagai bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan CIMB Group, dengan bank itu berjaya melaksanakan pautan rentas sempadan akaun antara CIMB Malaysia dan CIMB Singapura.
Langkah itu telah memudahkan perkhidmatan seperti menyediakan kadar pertukaran ringgit-dolar Singapura yang kompetitif untuk pemindahan dana segera dan dalam talian.
"Ini adalah contoh langsung mengenai penyelarasan peraturan antara dua negara yang telah membina kepercayaan dalam berkongsi data niat swasta untuk transaksi perbankan rentas sempadan. Contoh kedua adalah pelonggaran sistem pembayaran untuk transaksi.
"Dari segi perkara ini, kita mesti memuji pihak pengawal selia perbankan dan bank-bank pusat yang telah bekerjasama dengan baik dalam menyelaraskan peraturan dalam ruang ini," katanya.
Beliau berkata transaksi pembayaran antara negara-negara ASEAN juga menjadi lebih mudah kerana kod QR rentas sempadan telah diterima.
Contoh-contoh ini penting kerana ia telah dipermudah dalam industri yang amat dikawal selia seperti perbankan.
"Bayangkan berapa banyak lagi yang dapat kita capai di seluruh rantau ini sekiranya kita menyelaraskan amalan kawal selia berkenaan perkongsian data secara menyeluruh?" katanya.
Tengku Zafrul berkata di peringkat serantau, pengaturan pelbagai hala untuk memudahkan aliran data rentas sempadan turut meliputi syarat-syarat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mengenai e-dagang dan Perjanjian e-Dagang ASEAN.
Bahagian e-dagang di bawah RCEP mempunyai matlamat untuk mewujudkan persekitaran e-dagang yang kondusif menerusi perlindungan kepada pengguna dalam talian dan data peribadi dalam talian serta memudahkan aliran data rentas sempadan.
Beliau berkata kesinambungan dasar berkaitan data akan mewujudkan kepercayaan yang lebih tinggi dan menggalakkan e-dagang di rantau ini selain antara ASEAN dan pasaran antarabangsa lain.
Tengku Zafrul turut menyeru agar rantau ini memperkukuh pelaksanaan amalan kawal selia baik (GRP) pada peringkat seterusnya dengan membina asas yang telah dibangunkannya setakat ini untuk mencapai piawaian bersama bagi merealisasikan hasrat rantau ini sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran.
Beliau berkata ini berikutan negara-negara ASEAN masih dalam peringkat awal untuk membangunkan kerangka kawal selia masing-masing bagi berkongsi data untuk tujuan awam atau peribadi.
Sehubungan itu, beliau berkata pembuat dasar dan pengawal selia perlu menggabungkan amalan antarabangsa terbaik dalam prosedur perundangan domestik mereka.
"Bagi data dengan tujuan peribadi, ia termasuk memperkenalkan undang-undang atau dasar yang menggalakkan lesen data terbuka antara syarikat swasta, menggalakkan hak mudah alih data kepada individu, dan akses kepada format mudah alih data yang boleh dibaca mesin daripada satu vendor kepada vendor yang lain.
"Negara-negara ASEAN perlu mempertimbangkan secara serius untuk menubuhkan pengaturan yang diiktiraf bersama dan/atau menyelaraskan peraturan berkaitan data masing-masing sama ada di dalam dan di luar rantau ini. Ini juga boleh dilaksanakan menerusi rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang akan datang," katanya.
-- BERNAMA