Perang tarif AS terus jejas ekuiti Asia dengan aliran keluar bersih AS$6.73 bilion - MIDF

Bernama
Mac 17, 2025 14:20 MYT
Menurut MIDF, penganalisis percaya walaupun ketegangan politik boleh mewujudkan situasi tidak menentu di Filipina, negara tersebut terus menarik pelaburan asing. - Gambar hiasan/ Reuters
KUALA LUMPUR: Pelabur asing mengekalkan pandangan lemah terhadap ekuiti Asia, terus mencatatkan jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran keluar yang ketara berjumlah AS$6.73 bilion (AS$1=RM4.43) kecuali Filipina manakala pelabur tempatan membantu Bursa Malaysia meredakan impak daripada aliran keluar pasaran yang lebih luas.
"Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah Filipina manakala pasaran serantau lain terus mencatatkan aliran keluar," menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam Laporan Aliran Dana bertajuk "Tit for Tat: U.S. Tariffs Spark Global Retaliation" pada minggu berakhir 14 Mac.
Taiwan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi untuk minggu ketiga berturut-turut berjumlah AS$3.80 bilion berikutan pelabur asing menjual saham dengan agresif terutamanya syarikat semikonduktornya TSMC disebabkan kebimbangan global terhadap penilaian saham cip.
Korea Selatan menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak AS$1.51 bilion, India (-AS$603.9 juta), Thailand (-AS$248.6 juta), Indonesia (-AS$225.7 juta) dan Vietnam (-AS$66.9 juta).
Sementara itu, bursa tempatan mencatatkan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM1.34 bilion atau kira-kira AS$302.4 juta.
Menurut MIDF, penganalisis percaya walaupun ketegangan politik boleh mewujudkan situasi tidak menentu di Filipina, negara tersebut terus menarik pelaburan asing.
-- BERNAMA
#perang tarif #AS #Asia #ekonomi dunia
;