Perang Rusia-Ukraine meruncing, Starbucks tutup 130 rangkaian di Rusia

Agensi
Mei 24, 2022 16:43 MYT
Starbucks Corporation mengambil keputusan menghentikan perniagaannya di seluruh Russia setelah hampir 15 tahun beroperasi di negara itu. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Starbucks Corporation mengambil keputusan menghentikan operasinya di seluruh Russia setelah hampir 15 tahun beroperasi di negara itu.
Keputusan Starbucks itu seiring keputusan syarikat gergasi barat lain seperti McDonald's Corporation untuk menghentikan operasi di negara itu.
Starbucks yang diasaskan di Seattle, Amerika Syarikat mempunyai 130 rangkaian cawangan di seluruh Rusia.
Pengurusannya dilesenkan kepada Alshaya Group berbekalkan hampir 2,000 orang pekerja.
Keputusan Starbucks untuk menutup semua operasi perniagaannya di Russia itu dianggap sebagai langkah berbeza jika dibandingkan dengan langkah diambil beberapa syarikat asing lain.
Pada minggu lepas, McDonald’s memaklumkan berkenaan penjualan restorannya di Rusia kepada pemegang lesen tempatan, Alexander Govor.
Penjualan ini akan dipasarkan atas nama baharu, bagaimanapun cap daganganya dikekalkan.
Renault (Perancis) pula sedang menjual sebahagian besar pegangannya dalam syarikat pembuat kenderaan terbesar di Rusia.
Tindakan ini juga membolehkan Renault untuk membeli balik saham tersebut.
Beberapa syarikat barat, termasuk Imperial Brands dan Shell sedang memutuskan hubungan dengan pasaran Russia dengan bersetuju untuk menjual asset-aset mereka atau menukarkan pengurusan kepada pengurusan tempatan.
Pada Mac lalu, Starbucks telah menutup kedai-kedainya dan menghentikan segala aktiviti perniagaannya di Russia, termasuk penghantaran produknya ke negara tersebut.
Keputusan ini dibuat susulan insiden pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Starbucks yang telah beroperasi di Russia sejak tahun 2007 akan meneruskan sokongannya terhadap pekerja mereka di negara tersebut, termasuklah dengan pembayaran gaji selama enam bulan.
Starbucks tidak memaparkan sebarang butir tentang impak kewangan susulan tidakan penutupan tersebut.
McDonald’s pula akan mengutamakan pengambilan caj bukan-tunai yang bernilai sehingga AS$1.4 bilion.
#Starbucks Rusia tutup #perang Rusia-Ukraine #rangkaian perniagaan #tutup syarikat Rusia
;