Perang perdagangan tidak akan beri kesan serta-merta ke atas ASEAN
Bernama
Oktober 1, 2018 06:12 MYT
Oktober 1, 2018 06:12 MYT
Peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak akan memberi kesan serta-merta ke atas pertumbuhan ekonomi ASEAN memandangkan kebanyakan negara dalam blok itu memiliki ekonomi dipacu permintaan domestik dan disokong oleh asas ekonomi serta dasar yang kukuh.
Kesannya ke atas pertumbuhan import bersih ASEAN turut dijangka minimum.
"Sekiranya perdagangan terjejas di peringkat global, kesan pertumbuhan serta-merta ke atas ASEAN akan berkurangan dan benar-benar dirasai, hanya tidak begitu ketara dalam pertumbuhan perdagangan import bersih.
"Bagaimanapun, pusingan kedua kesan ke atas pelabur dalam pesisir serta perniagaan dijangka amat jelas," katanya semasa taklimat media mengenai Tumpuan Kredit ASEAN di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai kesan perang perdagangan itu, Conti berkata, ASEAN tidak terkecuali daripada kesan negatif tersebut, bagaimanapun, penyusutan mata wang negara pesat membangun Asia Tenggara dilihat lemah berbanding Argentina, Turki, Brazil dan Afrika Selatan memandangkan pasaran yakin dengan asas ekonomi dan dasar di rantau ini.
"Kenaikan kadar faedah berperingkat oleh Rizab Persekutuan AS sendiri telah mendorong persekitaran dolar AS yang kukuh dan ini menimbulkan tekanan bagi pasaran pesat membangun, khususnya Turki dan Argentina, serta menyebabkan aliran keluar modal bagi mata wang yang lemah di seluruh pasaran pesat membangun global," katanya.
Bagi Malaysia, Conti berkata lebih kejelasan berhubung hala tuju pentadbiran negara selepas perubahan kepimpinan akan memberi keyakinan dalam kalangan pelabur.
"Lebihan akaun semasa Malaysia telah membantu mengurangkan kesan ketidaktentuan global memandangkan negara ini tidak memerlukan pembiayaan luaran bagi mana-mana hutang yang ditanggungnya ketika ini.
"Selain itu terdapat banyak pelabur domestik mempunyai kedudukan mudah tunai kukuh yang akan menyediakan pembiayaan kepada pasaran domestik sekiranya dana asing keluar daripada pasaran ini," katanya.
Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi global, beliau berkata, ia dijangka sederhana pada tahun-tahun akan datang, kerana pemulihan pertumbuhan ekonomi global akan mengambil masa yang panjang.
"Persoalannya sekarang, berapa pantas kadar penyederhanaan itu akan berlaku dan sejauh mana tahap penurunan pertumbuhan. Ini bergantung kepada kitaran pertumbuhan kredit dan ekonomi global, yang mana, jika kedua-dua elemen ini berlaku serentak, ia dapat saling memberi manfaat," katanya.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#ASEAN
#China
#ekonomi
#hutang
#kadar faedah
#kesan
#Malaysia
#mata wang
#negara pesat membangun
#perang dagang
#Rizab Persekutuan AS