Perang dagangan ketara, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS
Bernama
Mac 14, 2025 20:15 MYT
Mac 14, 2025 20:15 MYT

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.4410/4455 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4375, semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), diasak bahang ketidaktentuan perang dagangan yang menjejaskan sentimen pasaran, kata penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran juga membuat persediaan dalam menghadapi impak ketidaktentuan berkenaan ketika ringgit memaparkan petanda-petanda suram apabila kebimbangan mengenai tarif terus menular dalam aliran pasaran tukaran asing.
Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.4410/4455 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4375, semalam.
Innes juga menyifatkan inflasi AS kekal sebagai isu sukar dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dan Indeks Harga Pengguna (IHP) ternyata lebih lemah daripada jangkaan, sekali gus menunjukkan tekanan inflasi yang masih ketara.
"Pendekatan inflasi teras seperti IHP tanpa mengambil kira harga tambang kapal terbang dan komponen IHPR yang mempengaruhi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), menunjukkan inflasi bukanlah sepantas yang diunjurkan oleh pasaran.
"Memandangkan PCE kekal kukuh, Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan besar mengekalkan pendirian yang cenderung menaikkan kada faedah berbanding menurunkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Atas alasan itu, Innes berkata IHPR dan IHP yang lebih lemah, masih belum memadai untuk mendorong Fed melonggarkan dasar monetarinya yang hanya mengukuhkan lagi sokongan terhadap dolar AS.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penyusutan ringgit berbanding dolar AS adalah seiring dengan peningkatan Indeks Dolar AS (DXY).
Beliau berkata kebimbangan mengenai perang perdagangan dan kemelesetan ekonomi AS telah menjadikan usaha mengelak risiko menjadi semakin ketara.
"Trend disinflasi di AS menunjukkan Fed berkemungkinan lebih berminat untuk mempercepatkan usaha melonggarkan dasar monetari," katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang lain.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8194/8243 daripada 4.8205/8276 semalam, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7404/7463 daripada 5.7426/7510 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.9809/9842 daripada 2.9909/9953 sebelum ini.
Namun, berbanding mata wang ASEAN, ringgit kebanyakannya lebih rendah.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1820/2020 daripada 13.1199/1443 semalam, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3241/3277 daripada 3.3198/3250 serta susut berbanding rupiah Indonesia kepada 271.6/272.0 daripada 269.7/270, sebelum ini.
Ringgit juga turun sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.77 daripada 7.72/7.74, semalam.
-- BERNAMA