Perancangan awal pastikan Sime Darby tidak terkesan ketidakstabilan ekonomi

Pritha Manivannan
Mei 5, 2016 18:30 MYT
Sime Darby merancang perniagaan tiga ke empat tahun lebih awal bagi memastikan syarikat kekal kukuh dan tidak terlalu terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi. -Foto AFP
Dalam berdepan cabaran ekonomi global, Sime Darby Berhad merancang perniagaan tiga ke empat tahun lebih awal.
Menurut Ketua Perolehan Kumpulan, Adiwira Abdul Razak, ini bagi memastikan Sime Darby kekal kukuh dan tidak terlalu terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi.
Adiwira berkata ini dilaksanakan melalui program 'Lean Six Sigma' yang membantu syarikatnya meneliti semula proses dan perniagaan semasa.
Ia turut membantu Sime Darby merancang perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran.
"Pengurangan pembaziran daripada kos sistem keseluruhan akan membantu kami mengurangkan kos keseluruhan dan meningkatkan kemampanan syarikat," kata Adiwira.
Sime Darby dalam masa yang sama menggunakan baka kelapa sawit baru untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos yang lebih rendah dan kualiti yang lebih tinggi.
Ia dijangka menghasilkan sekurang-kurangnya 16 peratus lebih banyak minyak dan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan menjelang 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi berkata perancangan awal sangat penting dalam menjalankan perniagaan.
"Memang bagus untuk merancang dan melihat peluang yang sedia ada pada masa ini. Tetapi, ia dibuat oleh semua syarikat.
"Oleh itu, jika anda ingin meningkatkan daya saing syarikat, anda perlu merancang bagi masa depan. Ia akan menjadikan syarikat anda peneraju pasaran," kata Ashran.
Beliau berkata demikian di Program GLC Explorace pada Khamis di Kuala Lumpur.
Program GLC Explorace
Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia kekurangan platform pertemuan bagi meningkatkan kerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Menurut Adiwira, pertemuan ini penting bagi perkembangan PKS dengan keupayaan yang tinggi.
Bagi membantu PKS, Sime Darby bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menganjurkan GLC Explorace 2016.
Adiwira berkata PKS Malaysia mempunyai produk serta perkhidmatan yang berstandard global.
Menurutnya, GLC juga memberi peluang kepada PKS untuk menjadi vendor dalam projek besarnya.
"Ia memberi peluang kepada vendor untuk bertemu dengan 20 GLC, di mana mereka boleh bertanya secara terus bagaimana untuk menjadi vendor GLC, apa yang diperlukan dan apakah peluang yang ada," kata Adiwira.
Sebelum ini, Sime Darby membuka peluang kepada lebih 10 PKS untuk terlibat dalam projek Battersea.
Sementara itu, Ashran, berkata PKS harus sentiasa cuba menerokai pasaran serantau.
"Apabila kami membantu syarikat baru, kami sentiasa menyuruh mereka melihat sekurang-kurangnya pasaran serantau pada permulaan.
"Mereka harus melihat pada peringkat global tapi bagi permulaan pasaran serantau merupakan langkah yang besar," kata Ashran.
Lebih 1,000 PKS menyertai program GLC Explorace 2016 di Kuala Lumpur pada Khamis.
#Adiwira Abdul Razak #Ashran Ghazi #GLC Explorace 2016 #Ketua Pegawai Eksekutif #Ketua Perolehan Kumpulan #Lean Six Sigma #MaGIC #Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia #Sime Darby Berhad
;