Peralihan Fasa PPN: Kadar pengangguran dijangka pulih beransur-ansur - Mustapa

Astro Awani
September 9, 2021 15:48 MYT
Menurut Mustapa, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di Lembah Klang amat penting kerana ia menyumbang sebanyak kira-kira 40 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK). - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di negara ini dijangka beransur-ansur pulih apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di Lembah Klang amat penting kerana ia menyumbang sebanyak kira-kira 40 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK).
"Peralihan fasa PPN secara berperingkat yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan memulihkan kembali aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.
"Kadar vaksinasi semakin meningkat dan dijangka mencapai imuniti berkelompok pada Oktober.
"Pemulihan ekonomi akan lebih cepat apabila lebih banyak sektor dapat dibuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memandang serius isu peluang pekerjaan, khususnya pengangguran dalam kalangan belia serta guna tenaga tidak penuh berkaitan masa dan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
"Sehubungan dengan ini, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran pada tahun ini melalui kerjasama strategik agensi kerajaan serta pemain industri," katanya.
Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan sekiranya lebih banyak negeri beralih keluar daripada Fasa 1 PPN, Mustapa berkata kedudukan ekonomi dijangka lebih kukuh dan kadar pengangguran akan berkurangan mulai bulan September 2021.
#Pelan Pemulihan Negara #Mustapa Mohamed #pengangguran #peluang pekerjaan
;