Perak umum RM34.6 juta PRE tambahan
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 30, 2021 17:36 MYT
Ogos 30, 2021 17:36 MYT
IPOH: Perak mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Tambahan berjumlah RM34.6 juta, tambahan kepada dua pakej PRE terdahulu yang melibatkan implikasi kewangan RM200 juta.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sangat memahami kesusahan rakyat yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.
“Menyedari situasi pandemik ini yang masih mencengkam kehidupan segenap lapisan rakyat dan keperluan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat, suka saya mengumumkan 16 inisiatif tambahan yang melibatkan RM34.8 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, antara inisiatif itu ialah bantuan one-off kepada 4,000 mahasiswa anak Perak berjumlah RM400,000.
Katanya, bantuan itu dipecahkan kepada kepada dua kategori bantuan iaitu 2,000 penerima bagi bantuan kewangan umum secara one-off sebanyak RM150 seorang dan pengenalan insentif baharu melibatkan baucar tebus tiket pengangkutan awam sebanyak RM50 kepada 2,000 penerima.
“Bantuan ini secara tidak langsung akan dapat membantu kira-kira 4,000 mahasiswa anak Perak daripada keluarga B40 dan M40 yang memenuhi pra-syarat yang ditetapkan untuk persediaan kemasukan Oktober 2021,” ujarnya.
Saarani berkata, bantuan terbaharu itu juga melibatkan bantuan tambahan kepada Maahad Tahfiz berjumlah RM3.5 juta seperti bantuan pengurusan sama rata RM10,000 kepada setiap 144 buah Maahad Tahfiz, melibatkan peruntukan RM1.44 juta.
Di samping itu, ujarnya, bantuan tambahan pengurusan berasaskan bilangan pelajar dengan kadar per kapita RM200 seorang melibatkan 5,291 pelajar, dengan jumlah peruntukan RM1,058,200 dan bantuan one-off RM1,000 bagi setiap 819 orang guru, dengan jumlah peruntukan RM819,000.
Menurutnya, sumbangan juga diberikan kepada Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) berjumlah RM182,800.
“Peruntukan yang disebutkan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rintihan yang tular di media massa mengenai nasib sekolah Maahad Tahfiz yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.