Perak gamit pelabur cari peluang bangun industri baharu

Aida Aziz
Ogos 27, 2021 11:01 MYT
Saarani berkata ia sebagai usaha agar dapat membangunkan industri baharu, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan sebagai ganti kepada mereka yang sudah kehilangan pekerjaan. - Foto ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak
IPOH: Perak mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi menggamit pelabur baharu seterusnya mengatasi isu rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, ia sebagai usaha agar dapat membangunkan industri baharu, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan sebagai ganti kepada mereka yang sudah kehilangan pekerjaan.
"Kerajaan negeri mengambil maklum berkenaan rakyat negeri Perak yang sudah kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 samada mereka kehilangan pekerjaan kerana diberhentikan oleh mana-mana kilang perindustrian ataupun disebabkan oleh jatuh sakit dan sebagainya.
"Oleh itu kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan industri, pemain-pemain industri untuk kita melihat potensi bagi mengamit kehadiran serta minat pelabur baharu yang boleh datang ke negeri Perak,'' ujarnya.
Saarani berkata, justeru pihaknya akan sentiasa mengadakan rundingan dan melihat potensi agar perindustrian baru yang dibangunkan kembali itu boleh memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Perak yang terjejas.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) berhubung ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik kerana perusahaan yang menutup operasi atau gulung tikar di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Beliau turut menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) mengenai nasib anak bersekolah yang menjadi yatim piatu akibat ibu bapa mereka meninggal dunia susulan COVID-19.
"Saya memahami keresahan dan keprihatinan mengenangkan nasib terutama sekali anak yatim dan juga warga emas yang pendapatannya terjejas teruk dengan Covid-19.
"Seperti yang saya sebutkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sudah menyediakan peruntukan yang cukup besar sejumlah RM14.6 juta, ia merangkumi untuk bantuan yang diberikan kepada pelajar, anak yatim termasuk juga rumah orang tua serta warga emas Islam.
"Jadi bantuan untuk kumpulan anak yatim ini dibiayai dengan menggunakan wang daripada Baitulmal,'' katanya.
Sementara itu, dalam sesi jawapan lisan Saarani berkata, MAIPk turut menyediakan dana khas bantuan berjumlah RM14.6 juta untuk menangani impak pandemik COVID-19.
"Antaranya seperti bantuan kecemasan kelangsungan hidup, tajaan peralatan perubatan dan sumbangan kepada petugas barisan hadapan, bantuan pakej tablet dan data internet untuk usahawan atau pelajar sekolah, bantuan kebajikan pelajar luar negara, sumbangan bantuan operasi pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua dan warga emas Islam, tajaan bekalan makanan untuk mahasiswa di institusi pendidikan dan pelajar di sekolah atau maahad tahfiz,'' katanya.
#pelabur #peluang pekerjaan #pelabur baharu #Saarani Mohamad
;