Perak berjaya tarik pelaburan RM2.2 bilion - Saarani

Amirrul Rabbani
Mei 12, 2023 17:33 MYT
Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
IPOH: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kerajaan Negeri Perak berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.2 bilion diluluskan ke negeri itu yang mana ia menunjukkan peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata melalui angka itu juga sebanyak 3,816 peluang pekerjaan dengan peningkatan 28.5 peratus berbanding tahun lalu berjaya diwujudkan.
Menurutnya usaha itu dilihat akan memenuhi sasaran Negeri Perak yang menetapkan pelaburan bernilai RM4.2 bilion dengan 3,780 peluang pekerjaan pada tahun ini.
“Prestasi pelaburan di Negeri Perak amat memuaskan pada tahun 2022, dengan beberapa sektor menunjukkan pertumbuhan kukuh.
“Terutamanya, bagi sektor pertanian telah menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan pelaburan yang besar dalam pembangunan ekosistem rantaian nilai bekalan makanan di Perak.
“Selain itu, sektor pelancongan juga menunjukkan daya tahan, dengan keindahan alam semula jadi dan tarikan budaya negeri ini terus menarik pengunjung,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Jumaat.
Tambah Saarani, Kerajaan Negeri Perak juga optimis terhadap pertumbuhan dan pembangunan industri-indusrti bahari seperti ekonomi digital dan gig di negeri itu.
“Dengan sokongan inisiatif yang dibangunkan dan dikendalikan oleh NCIA, kami yakin Negeri Perak akan terus maju dan memberi peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa program bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Perak yang selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP 2021-2025) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Kata beliau antaranya adalah Dana Usahawan (DU@NCER), yang menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.
“DU@NCER ialah dana pemangkin yang direka sebagai ‘tipping point’ untuk PKS Bumiputera yang layak untuk meneroka pelaburan baharu atau pembangunan perniagaan yang memfokuskan kepada sektor industri teras di NCER.
“Sebanyak 15 syarikat berkaitan telah dianugerahkan dana berkenaan selain pada masa sama mewujudkan 767 peluang pekerjaan di negeri ini pada tahun lalu,” jelasnya.
#Kerajaan Negeri Perak #pelaburan #Saarani Mohamad #NCIA
;