Penyusutan ringgit jejaskan perjalanan ke Singapura

Bernama
Februari 14, 2017 22:29 MYT
Penyusutan ringgit menjejaskan perjalanan ke Singapura, menyebabkan penurunan dua peratus dalam ketibaan pelancong tahun lepas, kata STB. - Gambar hiasan
Penyusutan ringgit telah menjejaskan perjalanan ke Singapura, menyebabkan penurunan dua peratus dalam ketibaan pelancong tahun lepas, kata Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Dalam tempoh setahun, ringgit turun naik antara 2.85 dan 3.15 berbanding dolar Singapura.
Hong Kong mencatat penurunan ketibaan pelancong tertinggi berikutan prestasi ekonomi yang lebih lemah.
Selain Hong Kong dan Malaysia, penurunan ketibaan pelancong juga dicatat bagi pelancong Australia (dua peratus), Korea Selatan (dua peratus) dan Jepun, satu peratus.
Bagaimanapun, ketibaan pelawat serta pendapatan pelancongan Singapura melepasi ramalan dan mencecah jumlah tertinggi pada 2016.
Ketika ketibaan pelawat tumbuh 7.7 peratus kepada 16.4 juta, pendapatan pelancongan pula meningkat 13.9 peratus kepada S$24.8 bilion (S$1=RM3.12).
"Singapura berupaya menarik lebih ramai pelawat berkualiti yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonominya walaupun menghadapi pelbagai cabaran serta kemerosotan prestasi ekonomi di beberapa pasaran sumber utama Singapura serta wabak virus Zika," kata Ketua Pegawai Eksekutif STB, Lionel Yeo dalam laman webnya hari ini.
Pasaran pertumbuhan terbesar bagi ketibaan pelawat dari segi pertumbuhan multak pada 2016 adalah China (36 peratus), Indonesia (enam peratus) dan India, lapan peratus.
Landskap pelancongan yang mantap itu ditingkatkan lagi dengan beberapa tarikan baharu serta tawaran gaya hidup seperti KidZania Singapore, Future World at ArtScience Museum (Marina Bay Sands), COMO Dempsey, Michelin Guide Singapore, Chinatown Heritage Centre dan Zouk di Clarke Quay.
Kalendar acara Singapura kekal meriah dengan acara baharu seperti Ultra Singapore, HSBC World Rugby Sevens Series yang pertama kali diadakan dan Music After 7 di Clarke Quay.
Di bidang pelancongan perniagaaan, STB menyokong lebih 410 acara perniagaan pada 2016, pertumbuhan 15 peratus tahun ke tahun.
Acara terbabit menarik kira-kira 343,000 ketibaan pelawat dan menjana kira-kira S$611 juta dalam pendapatan pelancongan, masing-masing peningkatan 20 dan 28 peratus tahun ke tahun.
Pada 2016, industri kapal persiaran menyaksikan peningkatan 16 peratus penumpang tahun ke tahun kepada kira-kira 1.2 juta.
Bagi tahun ini, STB meramalkan pendapatan pelancongan antara S$25.1 hingga S$25.8 bilion, naik empat peratus, dengan ketibaan pelancong antarabangsa antara 16.4 hingga 16.7 juta, meningkat dua peratus.
STB berkata, ketidaktentuan ekonomi dan politik global dijangka berterusan dan saingan serantau untuk pendapatan pelancongan akan bertambah.
Bagaimanapun, ia berkata, Singapura boleh mendapat faedah daripada unjuran pertumbuhan pelancongan di rantau
Asia Pasifik dan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi pelancongan dalam meningkatkan usaha serta mengekalkan pertumbuhan pelancongan berkualiti.
-- BERNAMA
#KidZania #Lionel Yeo #Ringgit Malaysia #Singapura #STB
;