Penyertaan Malaysia dalam BRICS buka akses pasaran baharu kepada Johor melalui JS-SEZ

Bernama
Oktober 3, 2024 20:49 MYT
Onn Hafiz menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS akan membuka akses kepada pasaran baharu sekali gus meningkatkan pelaburan asing ke dalam negeri dan juga negara, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata penyertaan itu membawa potensi pelaburan dan perdagangan yang lebih besar kepada Johor melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Satu daripada perkembangan penting di peringkat global yang akan memberi impak kepada pelaksanaan JS-SEZ adalah hasrat Malaysia menyertai blok ekonomi BRICS yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kini mewakili kuasa ekonomi yang pesat berkembang di peringkat global.
"Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, kita amat mengalu-alukan dan menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyertai blok ekonomi BRICS ini yang pastinya akan turut membawa potensi pelaburan dan perdagangan yang lebih besar kepada negeri melalui JS-SEZ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Nazri Abdul Rahman (PH-Simpang Jeram) mengenai persediaan JS-SEZ dalam menyambut hasrat Malaysia menyertai BRICS pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Pada Januari 2024, negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE turut menyertainya sebagai anggota baharu.
Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan pakej insentif yang akan ditawarkan kepada pelabur di JS-SEZ semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, 2024.
Selain itu, Onn Hafiz berkata ketika ini dokumen perjanjian JS-SEZ sedang dimuktamad antara pelbagai kementerian serta agensi peringkat Persekutuan dan negeri serta Singapura.
"Memorandum persefahaman JS-SEZ itu dijangka akan ditandatangani semasa Pemukiman Tahunan atau Annual Leader's Retreat antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura yang dijadualkan pada 8 Dis, 2024," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak akan meminggirkan kawasan utara Johor ketika selatan Johor sedang menikmati pembangunan ekonomi dan infrastruktur hasil daripada JS-SEZ.
"Pertumbuhan pesat di kawasan JS-SEZ akan menyumbang kepada peningkatan hasil cukai dan bukan cukai negeri. Hasil ini akan dapat digunakan untuk menambah baik infrastruktur di kawasan-kawasan luar JS-SEZ," katanya.
-- BERNAMA
#BRICS #JS-SEZ #pelaburan #Belanjawan 2025
;