Penyelenggaraan Lebuh Raya LDP, Sprint akan siap Jan 2016
Bernama
Mei 22, 2015 19:48 MYT
Mei 22, 2015 19:48 MYT
Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) telah memperuntukkan bajet sebanyak RM36 juta untuk kerja-kerja pemulihan serta penurapan yang sedang berjalan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint Expressway.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sazally Saidi berkata kerja-kerja itu, yang bermula pada Mac 2014, dijangka akan siap dalam Januari 2016.
LDP yang mempunyai kepanjangan sehingga 40 kilometer, memiliki empat plaza tol manakala lebuh raya Sprint dengan kepanjangan 23 kilometer mempunyai tiga plaza tol, katanya dalam satu sidang akhbar di sini Jumaat.
Turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam, Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT), Amir Mahmood Abdul Razak.
Daripada jumlah itu, RM25 juta telah diperuntukkan untuk 30 peratus kerja-kerja di LDP, manakala RM11 juta lagi adalah untuk 20 peratus kerja penyelenggaraan di lebuh raya Sprint.
"Kerja-kerja penyelenggaraan ini yang sebahagiannya dibuat mengikut garis panduan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi lebuh raya pada setiap tujuh tahun. Untuk kitaran penyelenggaraan yang pertama bagi LDP, kami membelanjakan kira-kira RM50 juta bagi keseluruhan 40 kilometer laluan," katanya.
Katanya, fasa terakhir itu sengaja ditangguhkan untuk mengikut penyiapan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi memastikan penyelarasan yang lebih baik dan meminimumkan gangguan lalu lintas.
Kerja-kerja di Litrak akan disejajarkan dengan dengan pembinaan dan program restorasi MRT yang melibatkan sepanjang 1.5 kilometer lebuh raya LDP di persimpangan Bandar Utama-Taman Tun Dr. Ismail dan juga sepanjang 4.7 kilometer dari lebuh raya Sprint di persimpangan Kiara-Seksyen 16, persimpangan Kiara-persimpangan Maarof dan Pusat Bandar Damansara-Semantan, kata Sazally.
Kerja-kerja fasa terakhir ini akan bermula dari Jun 2015 dan selesai pada Januari 2016, di mana dalam tempoh itu akan ada pengurusan trafik sementara serta papan tanda untuk memberi amaran dan lencongan trafik kepada pengguna.
Sementara itu, Amir Mahmood berkata MRT akan menyerahkan semula laluan LDP dan Sprint yang telah diambil alih untuk pembinaan MRT sejak 2012.
Katanya, sejumlah 62 peratus daripada projek MRT itu sudah disiapkan dan kerja-kerja pembinaan yang bersebelahan dengan lebuh raya LDP dan Sprint tidak lagi melibatkan kerja-kerja tanah menjelang Jun ini, disebabkan kerja-kerja MRT selepas ini, hanya akan melibatkan pembinaan landasan.