Penyasaran subsidi diesel langkah tidak popular, tapi bawa kestabilan fiskal - Ahli Ekonomi
Afiezy Azaman
Jun 26, 2024 10:45 MYT
Jun 26, 2024 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel merupakan satu tindakan yang tidak mudah dan tidak popular namun ia penting untuk kestabilan fiskal dan mengurangkan ketirisan yang berlaku.
Menurut Ketua Ekonomi CGS International Securities Malaysia, Nazmi Idrus, sekiranya langkah itu tidak diambil sekarang ia akan melemahkan kedudukan fiskal negara sekaligus terpaksa dilaksanakan juga di masa akan datang.
"Lebih baik lakukan penyasaran subsidi diesel sekarang kerana keadaan ekonomi ketika ini masih lagi mampan dan jika kita lihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama masih lagi kukuh.
"Jadi kita perlu mengambil peluang ketika ekonomi dalam keadaan yang kukuh untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel," katanya dalam tembual Program AWANI Pagi, pada Rabu.
Mengulas mengenai risiko kenaikan kos sara hidup akibat penyasaran subsidi diesel, Nazmi berkata, sememangnya itu adalah kebimbangan Kerajaan yang paling utama.
Namun beliau menjelaskan, Kerajaan mempunyai langkah-langkah untuk mengelakkan penyasaran subsidi diesel ini menimbulkan peningkatan kos sara hidup.
"Pertama, memastikan penyasaran ini lebih tersasar kepada golongan tertentu sahaja dan kita dapat lihat Kerajaan membuat penyasaran diesel kepada golongan berpendapatan tinggi dan sektor tertentu sahaja manakala golongan berpendapatan rendah masih menerima pemberian wang tunai secara bersasar.
"Kedua adalah memastikan terdapat pengawal daripada segi mengaut keuntungan yang berlebihan oleh syarikat-syarikat dan tanggungjawab ini jatuh kepada Kerajaan sendiri melalui KPDN yang memantau agar perniagaan tidak menaikkan harga secara berlebihan," ujarnya.
Langkah yang paling penting menurut Nazmi adalah aspek komunikasi kepada rakyat mengenai penyasaran subsidi.
"Kerajaan perlu telus dan jelaskan kepada rakyat mengapa kita naikkan harga diesel seperti mahu kurangkan penyeludupan dan ketirisan serta tambah baik kedudukan fiskal negara.
"Penjimatan subsidi ini untuk apa digunakan? Adakah akan memberi semula kepada rakyat? Ini semua penting dalam aspek komunikasi kepada rakyat untuk mengelakkan impak negatif terhadap kos sara hidup," katanya.