Penutupan MYAirline tidak jejas MAHB, kata CGS-CIMB Research

Dagang News
Oktober 11, 2023 06:10 MYT
CGS-CIMB Research berkata, sewaan komersial dan hasil akan pulih dengan mendadak apabila MAHB menamatkan diskaun sewa mulai 1 Jan 2024 dan lebih banyak kedai lapangan terbang dibuka semula. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research menjangkakan penutupan syarikat penerbangan tambang rendah kedua negara, MYAirline tidak akan menjejaskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Firma penyelidikan itu berkata, MYAirline bersifat domestik dan hanya mempunyai 9% bahagian pasaran tempat duduk domestik dan kemuncaknya pada Ogos 2023.
Katanya, kejatuhan syarikat penerbangan itu dilihat tidak akan begitu menjejaskan pengendali lapangan terbang itu.
“Anggaran kami menunjukkan bahawa hapus kira hutang lapuk daripada yuran syarikat penerbangan tambang rendah kepada MAHB boleh memberi kesan kepada unjuran tahun kewangan 2023 (FY23) kami dengan untung bersih teras kumpulan sekitar 3%.
"Kami menjangkakan MAHB akan membuat hapus kira yang diperlukan dalam pengumuman keputusan suku ketiga atau suku keempat tahun ini, sekiranya belum berbuat demikian.
"Kami tidak menggambarkan sebarang hapus kira hutang lapuk ke dalam ramalan kewangan kami buat masa ini,” katanya dalam satu nota kajian, semalam.
Firma penyelidikan itu berkata, media tempatan pada Selasa melaporkan bahawa MYAirline tidak membayar gaji kakitangannya dan pembekalnya tepat pada masanya, dan CGS-CIMB Research melihatnya sebagai tanda tekanan kewangan.
BACA: MYAirline perlu bincang isu dihadapi kepada Mavcom - Loke
MYAirline diasaskan pada 2021 dan melancarkan penerbangan pertamanya pada Disember 2022, menggunakan pesawat Airbus A320 yang dipajak.
Syarikat itu sembilan pesawat A320 berkapasiti 180 tempat duduk, dengan 80% kapasiti tempat duduknya digunakan di laluan domestik dari KLIA2 ke Kota Kinabalu, Kuching, Tawau, Sibu, Miri, Kota Baru, Langkawi dan Pulau Pinang manakala 20% lagi digunakan bagi laluan Bangkok Suvarnabhumi dan Bangkok Don Mueang.
Sejak Ogos 2021, MYAirline telah mengurangkan kapasiti tempat duduk domestiknya sebanyak 25%, setelah mengurangkan laluan Sibu dan Miri, serta mengurangkan kapasiti ke Kota Bharu.
Menjelang pertengahan bulan ini, penerbangan KLIA2 ke Bangkok Suvarnabhumi dijangka ditamatkan, manakala penerbangan Bangkok Don Mueang akan dikurangkan separuh, kata firma penyelidikan itu.
“Bagaimanapun, CGS-CIMB Research kekal positif terhadap MAHB, dengan pemangkin penarafan semula termasuk trajektori menaik trafik antarabangsa, manakala sewaan komersial dan hasil juga akan pulih dengan mendadak apabila MAHB menamatkan diskaun sewa mulai 1 Januari 2024 dan lebih banyak kedai lapangan terbang dibuka semula," katanya. - DagangNews.com
#MYAirline #MAHB #hutang lapuk #tidak bayar gaji kakitangan
;