Penumpang AirAsia X melonjak 42 peratus pada suku kedua

Bernama
Julai 24, 2024 13:45 MYT
AirAsia X Bhd telah membawa 880,265 penumpang pada suku kedua 2024, melonjak 42 peratus dari tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan 25 peratus dari tahun ke tahun dalam kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) tersedia. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd telah membawa 880,265 penumpang pada suku kedua 2024, melonjak 42 peratus dari tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan 25 peratus dari tahun ke tahun dalam kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) tersedia.
Syarikat penerbangan itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan kapasiti ASK mencecah 4.39 bilion suku ini, meningkat berbanding 3.50 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini berpunca daripada usaha syarikat penerbangan itu sejak 12 bulan lepas yang telah mengaktifkan semula sejumlah pesawat selain mengembangkan lagi rangkaiannya bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
"Faktor muatan penumpang (PLF) syarikat penerbangan itu merekodkan keteguhan 83 peratus, menokok tujuh mata peratusan dari tahun ke tahun selepas dirangsang oleh musim kemuncak perjalanan musim bunga di pasaran utama dan cuti Aidilfitri pada suku yang ditinjau," katanya.
AirAsia X telah memulakan kembali operasinya ke Xi'an, China pada April, mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran utama tersebut dengan lima destinasi seperti Beijing, Chengdu, Hangzhou dan Shanghai.
"Pada suku berkenaan, syarikat penerbangan kami telah meningkatkan kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bali kepada 14 kali seminggu berbanding sembilan kali sebelumnya, sebagai respons kepada permintaan kukuh bagi pulau itu," tambahnya.
Sementara itu, AirAsia X Thailand, sebuah syarikat bersekutu, mengekalkan PLF yang mantap sebanyak 84 peratus pada suku kedua 2024, menokok enam peratus mata dari tahun ke tahun.
"Dalam tempoh tinjauan, AirAsia X Thailand juga melaporkan kenaikan tujuh peratus dari tahun ke tahun dalam bilangan sektor kepada 1,156, memandangkan lebih banyak penerbangan dilancarkan bagi memenuhi lonjakan permintaan," kata kenyataan itu lagi.
Saiz armada AirAsia X kekal pada 18 buah pesawat A330 pada 30 Jun 2024, dengan 16 pesawat telah diaktifkan dan beroperasi.
Saiz armada AirAsia X Thailand berjumlah tujuh buah A330, dengan enam pesawat diaktifkan dan beroperasi.
-- BERNAMA
#penumpang AirAsia X #melonjak #suku kedua #penerbangan