AirAsia dan AirAsia X menggesa penumpang pada musim perayaan Aidilfitri supaya tiba awal di lapangan terbang bagi mengelak kesesakan berikutan peningkatan mendadak jumlah pengembara.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, penumpang dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum jadual pelepasan bagi penerbangan AirAsia dan sekurang-kurangnya empat jam lebih awal untuk penerbangan AirAsia X.

"AirAsia juga ingin mengingatkan penumpang untuk daftar masuk sendiri di laman web, mudah alih atau kios di lapangan terbang, yang boleh didapati 14 hari dan sehingga sejam sebelum pelepasan bagi semua penerbangan AirAsia dan sehingga empat jam bagi semua penerbangan AirAsia X," katanya.

Menurutnya, pilihan layan diri, daftar masuk sendiri dan tag bagasi sendiri boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Lapangan Terbang Labuan, Lapangan Terbang Miri, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Tawau.

Bagi penumpang dengan bagasi daftar masuk, kaunter serah bagasi akan ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan untuk semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X, katanya.

"Ketika kesesakan dijangka berlaku di pusat pemeriksaan keselamatan, pelepasan bagasi dan imigresen, adalah paling baik untuk penumpang menyelesaikan serahan bagasi dan terus bergerak ke pintu menaiki pesawat lebih awal.

"Penumpang dengan tempahan berkumpulan, kurang upaya atau dengan keperluan khas dibenarkan untuk daftar masuk di kaunter dan perlu memperuntukkan lebih banyak masa bagi menyelesaikan urusan perjalanan," katanya.

-- BERNAMA