Penting kerjasama Malaysia-Brazil teroka sektor semikonduktor, E&E - PM
Harits Asyraf Hasnan
November 17, 2024 07:15 MYT
November 17, 2024 07:15 MYT
RIO DE JANEIRO (Brazil): Kerjasama antara Malaysia dan Brazil dilihat amat signifikan terutama dalam meneroka peluang untuk memperkukuh hubungan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta industri semikonduktor.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan adalah untuk memacu ekonomi melalui perindustrian dalam bidang E&E dan semikonduktor.
“Malaysia juga sedang memberi perhatian kepada keperluan ekosistem yang semakin berkembang seperti pusat data dan kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi semakin penting.
“Justeru, kerjasama dengan Brazil sangat penting pada masa ini kerana ia membolehkan negara-negara di selatan global memanfaatkan kepakaran, penyelidikan dan inovasi mereka untuk cemerlang dalam industri berimpak tinggi,” ujar Anwar.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Meja Bulat dengan Kapten Industri Brazil di sini pada Ahad.
Mesyuarat itu dihadiri oleh 34 pemimpin industri dari 20 syarikat-syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan Brazil.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan .
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen ASEAN untuk memperkukuh pendigitalan serantau dan integrasi tenaga melalui inisiatif seperti ASEAN Grid, yang bertujuan memperkukuh hubungan tenaga dalam kalangan negara anggota.
Perbincangan tersebut sejajar dengan matlamat lebih luas Malaysia untuk memupuk kerjasama serantau dan antarabangsa dalam teknologi baharu dan pembangunan mampan, terutamanya apabila AI dan pendigitalan terus mengubah landskap industri di peringkat global.
Menurut Anwar, walaupun jumlah dagangan dan eksport semikonduktor dari Brazil adalah agak kecil berbanding Malaysia, industri di Brazil cemerlang dalam beberapa aspek yang boleh memberikan kelebihan kepada kedua-dua negara.
Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang menyeluruh, meliputi aktiviti huluan dan hiliran, dan kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan nilai eksport melebihi AS$85 bilion.
Ekosistem Malaysia merangkumi gergasi global seperti Intel, Infineon, Micron, dan Texas Instruments, serta juara tempatan seperti Carsem dan Inari.
Nilai eksport semikonduktor Brazil adalah sebanyak AS$1 bilion, dan kelebihan kompetitif negara itu terletak pada pengeluaran litar bersepadu.