Penstrukturan semula syarikat Twitter minggu depan
Kohilah Sekaran
Oktober 12, 2015 22:39 MYT
Oktober 12, 2015 22:39 MYT
Syarikat rangkaian sosial, Twitter Inc. dilapor akan mengalami penstrukturan semula secara besar-besaran minggu depan, di mana saiz pekerja juga dipercayai akan dikurangkan.
Berita itu diumumkan oleh Twitter selepas Jack Dorsey dilantik sebagai Ketua Eksekutif pada Isnin lepas.
Memetik laporan portal Re/code, pengurangan saiz pekerja itu akan dilakukan bersama penstrukturan semula organisasi Jabatan Kejuruteraan Twitter untuk menjadikan ia lebih mantap dan lebih cekap.
Menurut seorang jurucakap Twitter, ia tidak jelas berapa ramai kakitangan Twitter akan diberhentikan, tetapi kemungkinan ia akan melibatkan beberapa jabatan.
Jurucakap Twitter memberitahu Re/code, "Kami tidak mengulas sebarang khabar angin ataupun spekulasi."
Setakat Jun tahun ini, syarikat itu dilapor mempunyai kira-kira 4,100 pekerja, iaitu dua kali ganda daripada jumlah pekerja pada suku kedua tahun 2013.
Namun, pertumbuhan penggunanya dilihat tidak sejajar dengan peningkatan pekerja di Twitter.
Difahamkan, saham indeks perdagangan Twitter jatuh 3.1 peratus kepada $29.90 (RM124) pada Jumaat dan secara keseluruhan, saham Twitter merosot kira-kira 14 peratus tahun ini.
Syarikat itu sedang berusaha untuk meningkatkan semula pertumbuhan selepas laporan suku tahun 2014 (Julai) mendedahkan kemajuan yang paling perlahan dalam purata bulanan pengguna Twitter sejak ia dilancarkan pada 2013.