Penstrukturan semula Bajet 2015 tangani kemerosotan nilai ringgit, harga minyak
Bernama
Januari 17, 2015 19:25 MYT
Januari 17, 2015 19:25 MYT
Penstrukturan semula Bajet 2015 mungkin dibuat sebagai langkah menangani kemerosotan nilai ringgit dan penurunan harga minyak, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, kerajaan telah menjalankan kajian mengenainya dan ia akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 20 Januari ini.
"Kedua-dua faktor ini mempunyai impak positif berbanding negatif. Jadi Perdana Menteri akan membuat pengumuman pada 20 Januari ini," katanya selepas merasmikan pintu gerbang Sungai Rokam dan penyerahan van jenazah kepada Masjid Sungai Rokam hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak tahu apa akan berlaku kepada ekonomi dunia pada masa depan, namun berharap keadaan yang tidak menentu dapat diatasi.
"Matlamat kita adalah menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020. Ini asas kepada kerajaan, swasta, rakyat dan badan bukan kerajaan. Cabaran perlu dilihat daripada segi positif bukan negatif," katanya.
Ahmad Husni berkata, bagi mengatasi cabaran itu, kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan gabungan semua pihak, termasuk sektor swasta, pekerja dan rakyat.
"Seperti kita hadapi cabaran banjir, ia turut melibatkan kerjasama dan bantuan daripada badan bukan kerajaan," katanya.