Penjenamaan semula, Neelofa mahu pacu keuntungan mencecah RM100 juta
Farhana Joni
Februari 16, 2020 19:23 MYT
Februari 16, 2020 19:23 MYT
USAHAWAN dan pengacara terkenal tanah air, Neelofa ingin terus mengaut keuntungan berlipat kali ganda sehingga mencecah RM100 juta dalam perniagaan tudungnya, Neelofar.
Jelas selebriti jelita berkenaan, sasaran angka keuntungan jualan itu seiring dengan penjenamaan semula dan penampilan wajah baharu Neelofar yang kini dikenali sebagai Naelofar.
Katanya, beliau turut merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan jenama miliknya itu di Setia City Mall, Shah Alam tidak lama lagi.
"Bersesuaian dengan wajah baharu Naelofar, saya yakin ia mampu meningkatkan lagi prestasi jualan ke angka yang lebih tinggi.
"Selain itu, berdasarkan rekod jualan tahun-tahun sebelum ini, saya pasti Naelofar mampu meraih jualan RM100 juta dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut bekas pengacara program bual bicara hiburan, MeleTop itu, idea penjenamaan semula Naelofar telah mengambil masa hampir setahun sejak Mac tahun lalu.
"Sebelum ini, Naelofar hanya menjual hijab mengikut permintaan pasaran kerana kami tidak mempunyai masa langsung untuk mendengar maklum balas daripada para pelanggan.
"Justeru, kami ambil kesempatan ini untuk menilai maklum balas yang diterima oleh semua pihak dan tampil dengan imej serta nuansa jenama yang baharu,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Neelofa berharap supaya imej baharu jenama tersebut dapat memberi inspirasi kepada semua golongan wanita.
"Saya tujukan khas buat semua wanita di luar sana yang berani melakukan sesuatu tanpa perlu menghiraukan cakap-cakap orang lain.
"Wanita yang menggayakan Naelofar adalah wanita yang berani, berfikiran terbuka dan mampu berdiri sebaris dengan kelompok wanita lain,” kata beliau.
Bagi mereka yang berminat ingin mendapatkan rekaan tudung terbaharu Naelofar, boleh mengunjungi beberapa cawangan di pusat beli-belah Isetan KLCC, Sogo dan cawangan mercu sedia ada di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
#Isetan KLCC
#jualan
#keuntungan
#Meletop
#nealofar
#Neelofa
#Neelofar
#Pengacara popular
#penjenamaan semula
#RM100 juta
#Sogo
#TTDI
#tudung
#Usahawan jelita
#wajah baharu