Penjawat awam Terengganu terima bonus RM700

Astro Awani
November 15, 2021 17:35 MYT
Ahmad Samsuri membentangkan Belanjawan 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 14,000 penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM700 seorang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pemberian itu bagi menghargai jasa penjawat awam berkenaan.
Katanya pembayaran bonus itu dijangka dilakukan pada Januari tahun depan dan turut termasuk untuk kakitangan kontrak.
“Sebagai menghargai jasa para penjawat awam yang telah menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan yang terbaik dapat disampaikan kepada rakyat kerajaan dengan ini mengumumkan pemberian bonus bernilai RM700,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.
BACA: Terengganu bentang Belanjawan 2022 bertemakan 'Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua'
Sementara itu Ahmad Samsuri berkata bagi menyokong kewangan golongan belia, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan bantuan tunai one-off bernilai RM150 seorang.
Bantuan itu akan disalurkan kepada 66,400 belia bujang yang berumur antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 orang mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Kerajaan Negeri Terengganu hari ini membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan "Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua" dengan peruntukan sebanyak RM1.657 bilion untuk perbelanjaan mengurus.
#Belanjawan Terengganu #penjawat awam #terengganu #bonus
;