Penjawat awam Selangor wajar dapat insentif setanding pencapaian negeri - Amirudin
Bernama
Oktober 14, 2023 15:19 MYT
Oktober 14, 2023 15:19 MYT
BANTING: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membayangkan penjawat awam negeri itu bakal menerima insentif setanding pencapaian kerajaan negeri yang dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, November ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion pada Ogos lepas.
"Alhamdulillah, tahun ini sasaran kutipan hasil negeri berjaya dicapai seawal bulan Ogos dan saya percaya penjawat awam negeri Selangor wajar menerima insentif yang setanding dengan pencapaian mereka.
"(Insentif) negeri Selangor tunggulah, tunggu pengumuman pada November," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri Selangor di IJM Rimbayu, di sini hari ini.
Pada 22 Ogos lepas, Amirudin mengumumkan kerajaan Selangor berjaya mengutip RM2 bilion hasil negeri seperti yang diunjurkan dalam Belanjawan Selangor 2023.
Mengulas tentang insentif untuk penjawat awam persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, beliau berkata hal itu pastinya sangat melegakan tenaga kerja sektor awam di seluruh negara.
"Angka RM2,000 itu saya rasa banyak melegakan penjawat awam di seluruh negara, terutamanya (ketika itu mereka) berdepan dengan (anak) masuk sekolah bulan Februari dan persiapan hari raya (Aidilfitri) pada bulan Mac atau April," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata yakin kerajaan Selangor dapat mengutip keseluruhan RM2.3 bilion hasil negeri pada tahun ini.
"Setakat ini kutipan kita mencecah RM2.25 bilion. Sasaran kita RM2.05 bilion telah berjaya dicapai, maknanya kita sudah ada lebihan RM200 juta. Kalau ikut trend, untuk kita cecah RM2.3 bilion boleh dikatakan hampir pasti, tapi ini juga bergantung pada pembayaran individu atau syarikat terhadap tanah dan cukai-cukai tertentu," katanya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Negeri Selangor
#Amirudin Shari
#penjawat awam
#insentif
#Belanjawan Selangor 2024
#Belanjawan 2024