PENJANA: Shop Malaysia Online mampu perkasa agenda digital ekonomi Sarawak

Astro Awani
Jun 6, 2020 16:29 MYT
Pengenalan Shop Online Malaysia melalui PENJANA mampu memacu ekonomi digital Sarawak dalam visi menuju negeri maju 2030. -Gambar Astro AWANI
Pelaksanaan Shop Malaysia Online melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek (PENJANA) dilihat selari dengan dasar ekonomi digital Bumi Kenyalang yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak 2017.
Menurut Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED), Datuk Naroden Majais, pemerkasaan ekonomi secara dalam talian itu dapat mengangkat sektor perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di seluruh negara.
“Ini selaras dengan impian Ketua Menteri Sarawak serta seluruh masyarakat dalam memanfaatkan platform tersebut yang bukan sahaja untuk melakukan transaksi jual beli ke atas produk tempatan, malah secara menyeluruh dimana ia merangkumi aspek kerjaya,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI.
Tambahnya, langkah itu juga membuka peluang lebih luas kepada pemain industri untuk terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi tanpa ada sebarang batasan.
Beliau yang melihat teknologi digital sebagai platform di hujung jari memberi jaminan bahawa Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan kelangsungan pembangunan usahawan di negeri itu diberi perhatian secara lebih holistik.
“Kerajaan negeri melalui MINTRED dan beberapa agensi lagi seperti Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) serta pihak swasta akan bekerjasama di bawah satu platform kendalian SEDC iaitu Sarawak Entreprenuer Development Central Committee.
“Kerjasama yang dijalankan ini dapat menjimatkan masa dan tenaga kita (dalam menggerakkan projek),” ujarnya.
Beliau memberitahu, pelaksanaan ekonomi digital di negeri itu sejajar dengan trend global di mana penguasaan teknologi amat dipandang tinggi serta mewujudkan dimensi baharu dari aspek pembangunan.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #coronavirus #COVID-19 #Dasar Ekonomi Digital #Datuk Naroden Majais #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Ketua Menteri Sarawak #koronavirus #MINTRED #Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek #PENJANA
;