PENJANA: Promosi dalam talian jadi penyelamat perniagaan
Fauzi Suhaimi
September 11, 2020 19:58 MYT
September 11, 2020 19:58 MYT
Usaha mentransformasikan perniagaan menerusi dalam talian benar-benar beri kesan positif kepada usahawan dalam mendepani impak COVID-19.
Memulakan promosi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Norfazlliana Mohamed akui inisiatifnya itu kini membuahkan hasil.
Menceritakan kembali saat bermulanya PKP pada Mac lalu, Penolong Pengurus Abe Aircod Services itu berkata, perniagaannya jatuh merudum.
“Sebelum penularan COVID-19, sebagai contoh kita boleh dapat dalam RM15,000 ke atas sebulan.
“Sewaktu PKP bermula, pendapatan kami memang amat kurang sebab kami tidak boleh kerja di luar seperti ke kediaman rumah atau pejabat sebagainya.
“Jadi kalau nak dapat dalam RM10,000 sebulan sewaktu penularan COVID-19 sekarang sangat susah,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Namun, dia akui Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) menerusi Tekun Nasional (Tekun) menjadi penyelamat kepada perniagaannya itu.
“Sewaktu kami mohon sebelum ini, ambil masa yang agak lama. Hampir dua bulan, baru dapat duit.
“Namun CBRM kali ini, tidak sampai sebulan kami mohon, sudah terima wang tersebut.
“Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya menolong kami untuk tamping kos perbelanjaan, operasi dan sebagainya,” katanya.
Dia akui, usaha kerajaan dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan COVID-19 wajar dipuji kerana usaha itu sampai tepat pada masanya kepada golongan sasar.