Peniaga telefon catat lonjakan jualan telefon pintar

Bernama
Januari 23, 2013 13:20 MYT
Para pengedar telefon dan penyedia telekomunikasi tempatan kini mengalami lonjakan jualan yang besar selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkan pemberian rebat RM200 bagi kesemua jenis telefon pintar.
Malah, sesetengahnya berhadapan masalah baharu, iaitu mereka tidak mempunyai telefon yang mencukupi untuk dijual, berikutan lonjakan permintaan tersebut.
Langkah kerajaan mengetepikan had membeli telefon pintar bernilai RM500 satu atau kurang dijangka memanfaatkan kira-kira sejuta belia berusia antara 21 dan 30 tahun yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Sdn Bhd Jason Lo berkata sejak pengumuman tersebut, permintaan mendapatkan telefon pintar telah meningkat lebih 50 peratus.
Tune Talk adalah salah satu penyedia perkhidmatan bagi pakej itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Pengumuman itu adalah langkah yang baik oleh kerajaan. Kami menerima sekitar 10 hingga 15 permohonan baharu mendapatkan rebat setiap hari dan bilangan itu semakin meningkat," kata Lo kepada Bernama.
Langkah proaktif kerajaan itu memanfaatkan 800 peniaga Tune Talk di seluruh negara, katanya.
"Kami tiada masalah di segi stok telefon pintar kerana dasar kami ialah untuk menempah hanya apabila ada permintaan. Kini, permintaannya masih terkawal," kata Lo.
Ketua Jualan NineTology Malaysia Sdn Bhd Eddy Tay berkata para belia mendapat manfaat dari langkah kerajaan melengkapi mereka dengan telefon pintar kerana mereka kini akan dapat memilih lebih banyak model.
"Para belia hari ini bukan sahaja membeli telefon pintar bagi berkomunikasi, malah juga bagi mendapatkan data dari Internet," katanya.
Melalui pengumuman terbaharu itu, Tay berkata permintaan dari para pengedarnya juga meningkat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Terminal ZTE Malaysia Jeremy Zhao berharap kerajaan akan melebarkan kempen itu sehingga meliputi bukan sahaja telefon pintar, malah turut meliputi keseluruhan senarai produk jalur lebar mudah alih bagi membantu meningkatkan opsyen pengguna akhir dan meningkatkan penembusan jalur lebar mudah alih di Malaysia.
"Pada peringkat awal, 23 model telah di senarai pendek, tetapi kini kesemua vendor telefon pintar mendapat manfaatnya," katanya, sambil menyatakan syarikatnya turut mencatatkan peningkatan jualan.
Juga baca:
Rebat RM200. Bagaimana cara untuk memohon?
#Bajet 2013 #Belia #rebat #SKMM #telefon pintar
;