Peniaga harap bantuan diteruskan, lebih banyak sektor dibuka untuk pulih ekonomi
Astro Awani
September 16, 2021 22:24 MYT
September 16, 2021 22:24 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan perlu meneruskan bantuan yang diberi sepanjang pandemik COVID-19 terutama kepada peniaga bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia.
Selain itu, pembukaan sekatan melalui kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) secara berperingkat juga dijangka mampu mengembalikan kekuatan ekonomi negara.
Pengusaha kedai kek dan roti, Suzana Salleh, berkata perniagaannya mengalami kerugian besar disebabkan pelbagai sekatan serta penutupan sektor perniagaan sejak tahun lalu.
"Kami mengalami kemerosotan atau kesusahan yang amat besar untuk menjalankan perniagaan dan saya sangat berharap kerajaan meneruskan bantuan untuk pengusaha-pengusaha yang berskala sederhana kecil dan juga besar.
"Kami amat memerlukan bantuan serta sokongan untuk bertahan sementara ekonomi benar-benar pulih," katanya di sini, hari ini.
Pengusaha tapak perkhemahan, Fatar Zamani, pula berharap kerajaan akan memperkenalkan bantuan tambahan kepada peniaga dalam bentuk suntikan kewangan bagi menampung kerugian yang ditanggung.
"Kita alami kerugian besar, sampai tak mampu bayar gaji kakitangan sebelum ini. Akhirnya kita terpaksa berhentikan kakitangan kerana tiada pilihan lain.
"Untuk meneruskan perniagaan ini, kami berharap kerajaan teruskan bantuan seperti sebelum ini atau tambah bantuan supaya kita dapat menampung sedikit perbelanjaan dan kos untuk baik pulih semula perniagaan," katanya.
Bagi pengusaha kedai gambar, Safawan Bahrin, pembukaan sekatan akan membantu perniagaan domestik yang akhirnya akan memulihkan ekonomi negara.
"Saya rasa menjelang tahun depan kita akan nampak ekonomi akan kembali pulih perlahan-lahan. Buat masa sekarang, kerajaan perlu buka sektor ekonomi dan sekatan pergerakan.
"Ia akan mengembalikan permintaan dan bekalan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak," katanya.