Peniaga di Plaza Low Yat rugi 50 peratus sehari - MCA
Bernama
Julai 15, 2015 07:38 MYT
Julai 15, 2015 07:38 MYT
Kebanyakan peniaga barangan elektronik dan teknologi maklumat di Plaza Low Yat di sini mengalami kerugian sebanyak 50 peratus sehari susulan insiden rusuhan, Ahad lepas.
Justeru, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon meminta pihak pengurusan plaza itu supaya mempertimbangkan pengurangan sewa bulanan premis di bangunan itu bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh peniaga terbabit.
Katanya peniaga mengadu bahawa mereka menanggung kerugian besar apabila terpaksa menutup perniagaan selama dua hari sejak Ahad lepas serta jumlah pengunjung ke plaza itu amat berkurangan ekoran kebimbingan soal keselamatan.
Insiden rusuhan tercetus selepas seorang pemuda berusia 22 tahun ditangkap oleh peniaga di bangunan itu kerana didakwa mencuri sebuah telefon bimbit berjenama Lenovo bernilai RM800 sehari sebelum insiden rusuhan itu.
Selain kemerosotan jumlah pelanggan, peniaga juga menutup perniagaan mereka awal kerana bimbang dengan keselamatan, kata Chong kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke plaza itu pada Rabu.
Beliau berharap tahap keselamatan di sekitar kawasan itu dapat ditingkatkan kerana peniaga masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku.
Pada Ahad lepas, dianggarkan beratus-ratus orang dipercayai kumpulan yang dihasut menerusi laman sosial berkumpul di hadapan plaza itu mulai 8 malam, sehingga berlakunya pergaduhan yang berlarutan ke awal pagi.
Sehingga kini polis menahan 25 individu yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.