Pengusaha PKS digalak guna aplikasi e-dagang - Ahmad Maslan

Bernama
Oktober 6, 2015 12:33 MYT
AHMAD MASLAN: Melalui konsep tersebut pengusaha PKS dapat memperoleh maklumat dengan cepat dan tepat.
Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan menggunakan aplikasi e-dagang untuk bersaing dalam perniagaan dengan berkesan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sudah mewujudkan portal perkhidmatan PKS bagi memudahkan pengusaha PKS menggunakan aplikasi e-dagang itu.
"Ia merupakan laman web yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memperoleh maklumat berkaitan PKS, termasuk berkaitan kewangan, pelaburan, jualan dan pemasaran, peningkatan kualiti, perlesenan, pendaftaran dan permit," katanya kepada pemberita pada Majlis Penerangan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik kepada usahawan negeri ini di sini, malam tadi.
Ahmad berkata melalui konsep tersebut pengusaha PKS dapat memperoleh maklumat dengan cepat dan tepat serta dapat mewujudkan jaringan perniagaan yang lebih meluas.
Beliau berkata setakat ini dianggarkan terdapat 600,000 pengusaha PKS di seluruh negara dan jumlah mereka yang menggunakan aplikasi e-dagang masih kecil.
Katanya kementerian itu akan menggiatkan usaha untuk menggalakkan lebih ramai pengusaha PKS menggunakan aplikasi e-dagang, termasuk melalui penganjuran seminar di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata SME Corp Malaysia telah mewujudkan portal perkhidmatan PKS melalui www.smeinfo.com.my yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan PKS, termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan.
Ahmad berkata pengusaha PKS di negara ini juga perlu merebut peluang melalui portal 'APEC MSME Marketplace' yang bakal diwujudkan bagi menyediakan akses kepada maklumat berkaitan perniagaan yang dapat membantu pertumbuhan dan pembangunan PKS di rantau Asia Pasifik dan global.
Pengusaha PKS juga perlu mengambil peluang daripada Portal Perkhidmatan PKS ASEAN yang akan dilancarkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan pada 20 dan 21 Nov depan, katanya.
#Ahmad Maslan #E-dagang #PKS #Portal
;